Azraai kecap kemenangan pertama
Selepas enam perlawanan, Mohd. Azraai Khor Abdullah akhirnya mengecap kemenangan pertama bersama Negeri Sembilan dengan kemenangan 3-1 ke atas Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Kejayaan itu hadir selepas keputusan berani bekas pengendali Harimau Muda itu menggunakan tiga pemain Piala Presiden di dalam kesebelasan utama selain memilih menggunakan khidmat Mohd. Farizal Harun selaku penjaga gol utama menggantikan Farizal Marlias.
Negeri Sembilan sudah berada di hadapan semenjak minit ke-13 apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada ke-13.
Semangat Pahang untuk melawan semakin longlai pada minit ke-28 selepas pemain tinggi lampai, G. Mahathevan menanduk masuk hasil bola yang berpunca daripada sepakan sudut daripada sebelah kiri.
Kedudukan skuad Hoben Jang Hoben bertambah kukuh apabila penyerang muda, Mohd. Firdaus Azizul merembat deras dari penjuru kiri gol Pahang pada minit ke-58.
Pahang mendapat gol saguhati pada minit ke-77 menerusi percubaan jarak jauh menarik daripada R. Kartigesu.
Di Stadium Likas, pendahulu liga, Selangor bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Sabah 2-1. Rosdin Wasli terlebih dahulu meletakkan Sabah di hadapan pada minit ke-11.
Namun, Selangor berjaya mendapat kemenangan bagi mengekalkan kelebihan empat mata di atas pencabar terdekat Terengganu menerusi jaringan daripada Bunyamin Umar pada minit ke-35 dan Amri Yahyah pada minit ke-65.
Harimau Muda A pula menebus kekalahan 1-0 ke atas Kedah pada Rabu lalu apabila menang 2-1 di Stadium Darulaman.
Penyerang kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan membuka tirai jaringan pada minit ke-29 sebelum Mohd. Fandi Othman menambah jaringan Harimau Muda A pada minit ke-55 hasil daripada sepakan percuma. Kedah mendapat gol tunggal melalui sepakan penalti yang diambil Baddrol Bakhtiar pada minit ke-63.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu menewaskan Perak 3-0 bagi mengekori rapat kedudukan Selangor manakala Johor FC juga mencipta kemenangan penting 2-1 ke atas T-Team di Stadium JCorp, Pasir Gudang. — Utusan Malaysia
Luahan Perasaan