Kelantan mahu ubati kekecewaan terlepas gelaran liga
KELANTAN tidak mempunyai pilihan kecuali menang dengan keputusan selesa apabila berdepan Terengganu pada saingan separuh akhir pertama Piala FA di Kota Bharu malam ini.
Selain menang dengan keputusan selesa sebelum bertandang ke Kuala Terengganu Selasa depan, misi penting Kelantan adalah untuk menjamin tempat ke perlawanan akhir serta mengekalkan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
Jika berjaya merealisasikannya, sekurang-kurangnya ia mampu mengubat kekecewaan mereka selepas mempamerkan aksi hambar dalam kempen Liga Super.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim menyifatkan kekalahan yang dialami ketika menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) Rabu lalu, tidak merentap semangat para pemainnya dan menganggap ia merupakan lumrah dalam bola sepak.
Menurutnya, memiliki pasukan yang lengkap tanpa sebarang kecederaan dan penggantungan merupakan bonus kepada ketua jurulatih, Bojan Hodak untuk membariskan kesebelasan terbaik ketika melayan kunjungan Terengganu malam ini.
“Dickson (Nwakaeme) juga sudah pulih dan boleh diturunkan semula dalam kesebelasan utama untuk memperkuatkan jentera serangan kita namun, semuanya bergantung kepada Hodak.
“Kita perlu menang dengan selesa, sama ada menang 3-0 atau 5-0. Semenangnya saya tidak berminat untuk memperkatakannya kerana ia mungkin memberi tekanan kepada pemain, tetapi kita perlu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, bekalan selesa perlu dibawa ke Kuala Terengganu kerana aksi di sana nanti akan bermula kira-kira pukul 4 petang, dan ia sedikit menjejaskan aksi pasukan kerana mungkin terpaksa bermain dalam cuaca panas.
Katanya, apa yang penting barisan pertahanan Kelantan perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan gawang mereka daripada dibolosi kerana Terengganu secara automatik akan memiliki kelebihan sekiranya berjaya menjaringkan gol di tempat lawan.
“Ini merupakan aksi timbal balas dan kita beraksi di laman sendiri pada perlawanan pertama. Jadi, amat penting untuk kita menjaringkan gol sebanyak yang boleh dan mempertahankan gawang daripada dibolosi untuk memberi sedikit kelebihan apabila bertandang ke gelanggang lawan kelak.
“Dalam situasi yang kita hadapi kini, saya rasa para pemain juga sudah menyedari bahawa perlawanan ini penting untuk pasukan dan kita akan memberikan yang terbaik untuk menggembirakan penyokong dan memastikan kita berjaya mengulangi kejayaan musim lalu,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekalahan Kelantan di tangan Johor DT, Rabu lalu, Azman berkata, tiada masalah yang berlaku di dalam pasukan tetapi, dua gol yang dibolosi dalam tempoh yang singkat menyebabkan pasukannya gagal untuk mengimbangi perlawanan.
Luahan Perasaan