Atur perlawanan: PBNS lapor polis
Mohamad Hasan tidak tolak kemungkinan wujud unsur negatif dalam skuad Liga Super NS
SEREMBAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis semalam bagi menyiasat dakwaan beberapa pemain termasuk pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan.
Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laporan dibuat oleh pengurus pasukan, Mohd. Bahari Abdul Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi semalam.
“Laporan ini dibuat kerana kita mempercayai terdapat pemain termasuk individu pada peringkat pengurusan pasukan Piala Presiden yang terlibat dengan aktiviti mengatur keputusan perlawanan.
“Saya dengan berat hati dan kesal mahu perkara ini disiasat segera dalam usaha memastikan virus ini dapat dibanteras segera demi kebaikan perkembangan sukan bola sepak tanah air,” katanya dalam sidang media di Wisma Negeri, semalam.
Mohamad, yang juga Menteri Besar memberitahu, laporan tersebut polis itu dibuat selepas pihaknya memiliki beberapa bukti kukuh termasuk saksi berhubung kegiatan tersebut yang dipercayai telah berlaku sejak hujung tahun lalu.
“Gejala ini dipercayai telah berlaku sejak tahun lalu, namun ketika itu kita tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana kita tidak mempunyai bukti.
“Kita tidak buat laporan ketika itu kerana kita tidak mahu menuduh atau menganiaya sesiapa tanpa sebarang bukti.
“Namun hari ini kita minta pihak berkuasa membongkar perkara ini kerana kita sudah mempunyai saksi,” jelasnya.
Tegas Mohamad, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan turut tidak menafikan serta bimbang gejala mengatur perlawanan turut membabitkan pemain Liga Super.
“Kita juga percaya unsur negatif ini juga mungkin wujud pada pasukan Liga Super berikutan prestasi yang tidak konsisten ditunjukkan mereka, sekejap menang sekejap kalah,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai status pemain serta pengurusan pasukan terbabit, Mohamad menjelaskan, sebarang hukuman atau tindakan akan dilakukan sebaik pihak polis selesai menjalankan siasatan.
“Hukuman atau tindakan ini akan diputuskan oleh jawatankuasa pemain PBNS sebaik kita menerima hasil siasatan pihak polis,” ujarnya.
Skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang mengumpul 20 mata, kini menduduki tangga ketujuh Kumpulan B selepas 18 perlawanan.
Dengan saingan yang hanya berbaki dua perlawanan, Negeri Sembilan hanya mencatatkan lima kemenangan, lima seri dan lapan kekalahan.
- UTUSAN MALAYSIA
Pingback: Rasuah kembali gegar Liga Malaysia | Sokernet | Sokernet