Sathianathan perkukuh bahagian benteng hadapi Red Giants
SEGALANYA sudah tersurat. Dua musuh tradisi bola sepak tempatan, Selangor dan Kelantan akhirnya dipertemukan lebih awal apabila berentap dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir TM Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.
Begitu pun, selaku naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan tetap turun sebagai underdog menentang Selangor yang dilihat memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mengakui perlawanan suku akhir pertama malam ini ibarat pentas perlawanan akhir bagi kedua-dua pasukan bagi merebut piala paling berprestij itu.
“Suka atau tidak, inilah bola sepak sebenarnya. Bagi Kelantan, kita tidak menghadapi sebarang masalah untuk bertemu dengan mana-mana pasukan di peringkat kalah mati seperti ini.
“Dalam bola sepak tidak ada yang mustahil. Dan bukan mustahil untuk kita mendapatkan satu keputusan yang baik dalam perlawanan malam ini. Apa yang saya dan peminat harapkan, pemain Kelantan menunjukkan satu persembahan yang baik.
“Saya tetap menghormati kemampuan Selangor. Mereka mempunyai perwatakan sebenar sebagai pasukan bergelar juara. Begitu pun, itu tidak bermakna kita harus takut kepada mereka. Saya percaya sokongan peminat Kelantan di Lembah Kelang menjadi tonik tambahan kepada barisan pemain kita,” katanya.
Sathianathan berkata, perancangan pasukannya sedikit terjejas apabila beberapa tonggak utama diselubungi kecederaan namun beliau tetap optimis dapat menurunkan kesebelasan terbaik menentang Selangor malam ini.
“Azizi (Matt Rose) mengalami kecederaan begitu juga Ketua Pasukan, Indra Putra (Mahayuddin) walaupun cedera tetapi tetap bermain ketika perlawanan menentang KL Plus FC tempohari. Sementara peledak sensasi, Norshahrul Idlan (Talaha) mengalami kepenatan berpanjangan.
“Saya berharap ketiga-tiga mereka ini dapat pulih sepenuhnya menjelang perlawanan malam ini. Disamping itu, persembahan perancang tengah, Muhd Badhri (Radzi) dan Akmal Rizal (Ahmad Rakhli) yang kian memuncak juga diharap boleh menggegarkan pintu gol Selangor,” katanya.
Menyentuh mengenai kekuatan pasukan Selangor, Sathianathan mengakui Selangor bakal mempertaruhkan kehebatan beberapa tonggak utama bagi menyekat kemaraan pemain Kelantan.
“Mereka mempunyai Amirulhadi (Zainal) yang kini berada dalam tahap terbaik malahan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Selain itu, Safee (Mohd Sali) juga cukup merbahaya sama ada di luar atau di dalam kotak penalti Kelantan.
“Ketua Pasukan, Mohd Amri Yahyah juga cukup merbahaya bergandingan dengan Mohd Jaafar dibahagian tengah. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam mengharungi beberapa perlawanan penting di samping larian kencangnya mampu memerangkap benteng pertahanan Kelantan,” katanya.
Ditanya adakah Kelantan akan menggunakan strategi tertentu bagi menyekat kemaraan pemain-pemain tersebut, Sathianathan berkata, beliau mengarahkan pemain Kelantan beraksi seperti biasa dalam perlawanan itu.
“Tidak ada perancangan khas. Pemain akan tetap bermain seperti biasa dengan cara kita yang tersendiri. Kita juga tidak akan menggunakan taktikal ‘man to man marking’ kerana Selangor mempunyai ramai pemain yang hebat.
“Cuma bahagian pertahanan sudah pasti perlu bekerja keras malam ini. Dua perlawanan lalu tanpa sebarang bolos membuktikan pertahanan kita sudah cukup kebal. Mereka perlu konsisten sekali lagi malam ini,” katanya.
Sinar Harian
Tags: Kelantan, Kelantan-Selangor, Piala Malaysia 2010, Prebiu, Suku Akhir