PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) berusaha membanteras kemunculan ulat tiket palsu yang membanjiri Stadium Sultan Muhamad ke-IV menjelang perlawanan pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia, Sabtu ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata tahap keselamatan dan sistem jualan tiket menjadi aspek utama pihaknya menjelang perlawanan Kelantan dan Kedah Sabtu ini, walaupun KAFA berpuas hati tiada insiden buruk ketika perlawanan dengan Selangor, Jumaat lalu.
“KAFA belum berpuashati dan akan mengambil beberapa langkah untuk menjadikan stadium sifar daripada kejadian melempar botol, mercun dan sebagainya,” katanya selepas mesyuarat khas KAFA dengan Perbadanan Stadium dan pihak berkuasa, semalam.
Annuar berkata, untuk keselamatan, beberapa langkah tambahan akan diambil termasuk menambah anggota polis dan RELA ketika proses jualan tiket bagi mengelak dimonopoli pihak tertentu yang menjual semula dengan harga lebih tinggi.
“KAFA juga akan berbincang dengan FAM kerana kod bar pada tiket yang dicetak syarikat diberi kuasa ketika ini tidak berfungsi dan kerja menyemak tiket palsu menjadi sulit. Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli tiket yang dijual ulat kerana kebanyakannya palsu,” katanya.
KAFA juga memasang litar CCTV di kawasan sekitar dalam dan luar stadium bagi tujuan rujukan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Berita Harian
Tags: Annuar Musa, Kelantan, Kelantan-Kedah, Piala Malaysia 2010, Separuh Akhir, Ulat Tiket