KETUA jurulatih Perlis, Yunus Alif mengakui sedikit terkejut dengan kejayaan anak buahnya mencatat kemenangan dengan jaringan besar 4-0 ke atas Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri Kangar, kelmarin.
Bekas pemain skuad Olimpik negara itu berkata, kemenangan dengan jaringan selesa itu memang tidak dijangka sama sekali biarpun keputusan perlawanan itu menepati sasaran - menang dan mengutip mata penuh.
“Selepas mencatat kemenangan ke atas KL PLus FC, kami memang meletakkan sasaran untuk menang ketika bertemu Pahang. “Bagaimanapun, jaringan besar tidak diduga kerana kami menjangkakan menang dengan satu atau dua gol,” katanya, semalam.
Dua gol itu dihasilkan menerusi tandukan bekas penyerang Harimau Muda A, Ahmad Aminuddin Shahruddin pada minit ke-51 dan 80 selepas menyudahkan hantaran jauh K Soley dan Azmizi Azmi yang menewaskan penjaga gawang lawan, Wan Mohd Azraie.
Dua lagi gol adalah hasil sepakan penalti Ahmad Fakri Saraani pada minit 46 dan Mohd Shazwan Zainol (m-89) selepas insiden terjahan keras benteng pertahanan dan penjaga gawang pelawat ke atas Mohd Shazwan Zainol serta Mazlizam Muhamad.
Berikutan kejayaan itu, skuad Singa Utara itu menambah tiga lagi mata menjadikan 17 kesemuanya, sekali gus memperbaiki kedudukan pada carta Liga apabila melonjak ke tangga kelima daripada ketujuh.
Kedudukan terbaru itu menyaksikan juara Piala FA 2010, Negeri Sembilan yang tewas kepada Perak, 2-1, jatuh ke tangga keenam biarpun mengumpul jumlah kutipan mata sama (17), tetapi Perlis memiliki kelebihan dari segi jaringan.
Mengulas lanjut, Yunus berkata, biarpun aksi pada babak pertama menyaksikan persembahan kurang memberangsangkan apabila gagal menjaringkan gol, namun kebangkitan dengan aksi lebih teratur, kemas dan tindakan penyudah berkesan pada babak kedua membolehkan sasaran mengutip mata tercapai.
“Selepas menamatkan babak pertama tanpa jaringan, pemain saya memberikan persembahan lebih baik selepas rehat bagi kami menang besar,” katanya. - Metro
Tags: Liga Super, Perlis, Yunus Alif