PERLIS mengotakan misi awal untuk mengumpul mata penuh di Stadium Utama, Kangar sambil memperbaiki kedudukan sekarang dengan menewaskan pasukan yang bergelut untuk menyelamatkan diri daripada bahaya, Perak 3-0, malam tadi. (LIHAT VIDEO)
Selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan terakhir, dua gol Hazrul Mustafa pada minit ke-18 dan 37 serta jaringan Ahmad Aminuddin Shaharuddin (81) menceriakan jurulatih Yunus Aliff dan penyokong Singa Utara.
Perlawanan berkenaan turut dicemari dengan insiden buang padang Mohd Hafiszuan Salehuddin pada separuh masa pertama.
Dia yang dikenakan kad kuning atas terjahan yang menjurus kepada gol kedua, menerima kad kuning kedua seterusnya kerana membaling bola ke muka pengadil.
Daripada kedudukan kesembilan, Perlis kini naik dua tangga untuk memintas Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur di tangga ketujuh liga dengan 24 mata.
Skuad Singa Utara itu sekali lagi akan beraksi di tempat sendiri dengan menanti kunjungan pasukan T-Team Selasa depan. Sebelum itu Perlis berdepan perlawanan sukar menentang Selangor di Shah Alam Sabtu ini.
Dalam perlawanan Sabtu lepas, Perlis dikecewakan Kelantan 1-2 dalam aksi di Kota Bharu.
Tags: Liga Super, Perak, Perlis, Perlis-Perak