YUNUS Alif menguntum senyuman lebar menyaksikan pasukan yang baru dikendalikannya, Perlis menewaskan KL Plus 2-1 dalam saingan Liga Super di gelanggang lawan, kelmarin buat melengkapkan tugasan pertama baginya dengan nota manis.
“Sebelum perlawanan, kita harap mengutip sekurang-kurangnya satu mata tetapi kemenangan ini cukup membanggakan,” kata ketua jurulatih baru skuad Singa Utara itu.
Dia harap kejayaan berkenaan dapat menyuntik semangat apabila anak didiknya menentang Pahang di Stadium Utama Negeri Kangar, esok.
Kemenangan di depan para penyokong setia amat penting bagi Yunus buat meyakinkan peminat bahawa kemenangan ke atas KL Plus bukan nasib semata-mata.
Menentang Pahang tentunya bukan suatu tugas mudah apatah lagi pasukan Tok Gajah itu tentunya mahu bangkit selepas diaibkan Johor di kandang sendiri dalam perlawanan kelmarin.
Ketika ini Perlis berada di pertengahan liga dengan mengutip 14 mata daripada 10 perlawanan manakala Pahang hanya dipisahkan satu mata daripada skuad Singa Utara itu.
Tags: Liga Super, Perlis, Yunus Alif