Aksi Suku Akhir Kedua Piala Emas Raja-Raja hari ini
‘Belum tiba masa meraikan kejayaan’.
Begitulah peringatan yang dilontarkan pihak pengurusan skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan kepada pemainnya dalam mencongak perjuangan mereka merebut salah satu tempat ke peringkat separuh akhir.
Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail berkata, beliau tidak mahu pemainnya diulit mimpi dan memandangkan mudah dalam perlawanan separuh akhir kedua menentang Perlis petang ini. [LIHAT JADUAL PENUH]
“Kita akan turun beraksi seperti biasa menentang Perlis. Tiada tekanan ke atas pemain kita dalam perlawanan ini. Strategi kita ialah bermain seperti biasa sebagaimana dalam perlawanan pertama menentang Perlis di Kota Bharu dua minggu lalu.
“Apa yang kita lakukan ke atas Perlis (menang 3-0) boleh berulang ke atas kita sekiranya kita tidak berwaspada. Kita tidak boleh terikut-ikut rentak permainan mereka. Bekalan selesa tiga gol bukan satu jaminan mutlak untuk Kelantan mendabik dada melangkah separuh akhir.
“Saya telah ingatkan kepada semua pemain supaya berhati-hati dan bermain mengikut arahan sehingga tiupan wisel penamat. Perlis sudah pasti mahu bangkit mencipta kemenangan walaupun mereka menyedari ketinggalan tiga gol. Mereka mempunyai kelebihan kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Zahasmi berkata, tempoh sepanjang rehat dua minggu digunakan sebaiknya skuad Kelantan dengan memperbaiki kelemahan yang menghantui pasukan sebelum ini.
“Dari segi persiapan pasukan, saya masih belum berpuas hati. Dalam perlawanan persahabatan menentang PBJ Bachok baru-baru ini memang kita menang 4-0 tetapi pemain kita tidak memanfaatkan segala peluang yang terhidang dengan baik.
“Saya harap situasi ini tidak berulang dalam pertemuan menentang Perlis nanti. Mereka perlu bijak menggunakan segala peluang yang ada. Saya berharap kita mendapat gol awal bagi membunuh semangat juang pemain tuan rumah,” katanya.
Namun begitu ada perkhabaran gembira daripada skuad Kelantan apabila kesemua pemain bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.
Skuad Kelantan bertolak ke Kangar tengah hari Rabu dan akan turun beraksi menentang Perlis pada jam 4.45 petang di Stadium Utama Negeri, Kangar pada Jumaat ini.
Sementara itu Kedah, yang dibimbing jurulatih Mohamad Ramlee pula, juga sudah boleh memikirkan barisan yang akan ditonjolkan pada separuh akhir biarpun sedar MASUM mungkin mendapati inspirasi dan kekuatan batu baru selepas pulang dari siri perlawanan persahabatan di Korea Selatan.
Kekecewaan tewas di final musim lepas mahu segera diubati dan lantaran itu, kuota lima pemain dari Liga Super dipergunakan sepenuhnya oleh pengurusan skuad Melayu Kedah untuk memastikan mereka menjulang kejuaraan musim ini.
Kedah mengatasi MASUM 3-1 pada suku akhir pertama di Stadium UiTM Shah Alam. Bagi MASUM, Stadium Darul Aman pasti menjadi kubu yang sukar ditembusi apatah lagi bermain tanpa tonggak pertahanan Reuben Thayaparan yang dilayangkan kad merah pada suku akhir pertama lepas.
Prestasi semakin meningkat yang pamerkan tonggak Kedah seperti Hattaphon Bun Ann, Wan Asraf Wan Ali dan Fiqrry Isa pula pastinya menerbitkan kegusaran buat MASUM.
“Saya percaya dengan kenyataan bahawa dalam bolasepak, apa saja boleh berlaku. Masih ada baki 90 minit lagi dan ketinggalan 1-3 tidak bermakna segalanya telah berakhir…apa yang perlu ialah kekuatan mental dan keyakinan pemain,” kata jurulatih Omar Ali yang meletak harapan kepada dua ayam tambatannnya iaitu ketua pasukan Fahrul Razi Kamaruddin dan penyerang Nursalam Zainal Abidin untuk menghasilkan keajaiban.
Bagi empat lagi pasukan iaitu Johor, Pahang, Terengganu dan Perak tiada pilihan selain bertarung habis-habisan sesama sendiri dalam misi merebut dua lagi slot ke separuh akhir Puncak Piala Emas Raja-Raja.
Johor bertemu Pahang di Stadium Larkin manakala Terengganu melayan kunjungan Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam ini.
Bagi Johor, ketajaman dan penyudahan yang kemas daripada barisan penyerangnya sekali lagi ditagih bagi memastikan keputusan 1-0 yang dihasilkan di Kuantan sebelum ini dapat terus dikekal atau digandakan.
Ketajaman barisan penyerang Terengganu seperti Mohamad Zharif dan Mohd Sobri sekali diharapkan apabila skuad Penyu melayan kunjungan Perak bagi memastikan bekalan 2-1 yang dibawa dari Stadium Perak sebelum ini terus memberi kelebihan buat skuad tuan rumah.
Tags: Kedah, Kedah vs MASUM, Kelantan, Kelantan-Perlis, MASUM, Perlis, Piala Emas Raja-Raja, Prebiu, Prebiu Suku Akhir, Suku Akhir