Hatrik Messi padam rekod Real Madrid

JARINGAN hatrik Pemain Terbaik Dunia, Lionel Messi membantu Barcelona memahat sejarah baru dengan mencatat 16 kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Sepanyol, sekali gus memadam rekod lama milik Real Madrid - 15 kemenangan berturut-turut yang dicatat pada musim 1960-1961.

Messi menjaringkan kesemua gol ketika pasukannya menumpaskan Atletico Madrid 3-0 di Camp Nou semalam, untuk membolehkan penyandang juara itu melebarkan jurang kepada 10 mata di depan pencabar terdekat, Real yang hanya turun beraksi lewat pagi tadi menentang Real Sociedad (Real Madrid menang 4-1).

Atletico berkunjung ke Camp Nou bersama kekalahan dalam dua perlawanan terakhir, dan mereka turun ke padang tanpa keyakinan untuk berdepan Barcelona, sebaliknya hanya bertahan hampir sebahagian besar perlawanan.

Messi yang menjadi tumpuan pada perlawanan tersebut menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan melengkapkan hatriknya di babak kedua.

Barcelona berjaya mengatasi rekod 15 kemenangan yang dilakukan jurulatih Real, Alfredo Di Stefano bersama pasukan itu 50 tahun lalu.

“Ia adalah satu penghormatan buat pasukan ini selepas berjaya mengatasi rekod yang sudah lama tidak dipecahkan,” kata Messi.

Jurulatih Atletico Madrid, Quique Sanchez Flores mengenepikan penyerang Diego Forlan dalam kesebelasan utama dan membuat rombakan terhadap barisan tengahnya dengan meletakkan bekas pemain remaja Barcelona, Fran Merida, namun percaturan tersebut tidak berbaloi, tatkala Barcelona menguasai perlawanan sejak dari sepak mula.

Atletico berjaya bertahan sehingga Messi memecah kebuntuan untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-17. Penyerang Argentina itu meloloskan diri di bahagian sayap kanan dengan mengatasi tiga pertahanan lawan untuk berada di penjuru petak penalti dan melepaskan rembatan melalui kaki kiri penjaga gol, David De Gea.

Jaringan kedua Messi hasil dari kerjasama mantap rakan sepasukan. Kesilapan Antonio Lopez yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya membolehkan Pedro Rodriguez bekerjasama baik dengan David Villa, sebelum penyerang itu melakukan hantaran kepada Messi untuk melakukan penyudah berkesan.

“Kami tidak boleh berada pada tahap ini tanpa Messi dalam pasukan. Anda perlu seorang pemain yang hebat jika mahu membina sebuah pasukan yang mantap. Kami memenangi 16 perlawanan kerana kami mempunyai Messi,” kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Ketika Forlan dimasukkan pada separuh masa kedua, Atletico dilihat berjaya bangkit dan pemain pertahanan tengah Barcelona, Gerard Pique terpaksa menyelamatkan bola di atas garisan gol hasil rembatan Felipe Luis pada minit ke-53.

De Gea pula berjaya menepis tandukan Messi pada minit ke-73 tetapi enam minit kemudian Messi berjaya menolak masuk tampanan lemah De Gea.

Messi telah menjaringkan 40 gol daripada 33 perlawanan dalam semua kejohanan dan jaringan ke-24 dalam saingan liga meletakkan dia di depan mengatasi penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo yang kurang dua jaringan.

“Messi merupakan pemain paling hebat yang pernah saya saksikan. Dia merupakan Di Stefano pada abad ke-21,” kata Sanchez Flores.

Barcelona mencatat rekod baru kelab dengan 28 perlawanan tanpa kalah awal musim ini dan berada di landasan terbaik untuk memecahkan rekod lain termasuk, mata keseluruhan, kemenangan keseluruhan, jaringan keseluruhan dan bolos keseluruhan untuk satu musim.

Dalam perlawanan lain, Levente mencalar rekod tanpa kalah Villarreal di gelanggang sendiri dengan mencatatkan kemenangan 1-0, manakala Athletic Bilbao menewaskan Sporting Gijon yang beraksi dengan 10 pemain 3-0, seterusnya melonjak ke tangga kelima selepas Espanyol tewas 2-3 kepada Almeria.

Sementara itu Getafe menumpaskan Deportivo Coruna 4-1, Mallorca seri 1-1 dengan Osasuna dan Santander, Zaragoza terikat 1-1. - AFP/Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>