Mancini lega City atas Fulham
Roberto Mancini mengakui jaringan kemenangan Edin Dzeko pada babak akhir perlawanan ketika menang 2-1 ke atas Fulham di Craven Cottage kelmarin penting dalam usaha Manchester City mengekalkan kejuaraan liga.
Penyerang dari Bosnia itu mengambil kesempatan daripada bola yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh John Arne Riise tiga minit sebelum perlawanan berakhir untuk City kini empat mata di belakang pendahulu, Chelsea.
Fulham mendahului menerusi penalti Mladen Petric pada babak pertama dan City memerlukan jaringan penyamaan Sergio Aguero pada hujung babak pertama untuk City bangkit.
Namun pengurus dari Itali, Mancini enggan menerima andaian bahawa Fulham sepatutnya layak untuk sekurang-kurangnya satu mata sebaliknya memuji pasukannya kerana berjaya bangkit daripada ketinggalan.
“Kami tidak layak untuk menerima keputusan seri. Menentang Fulham di sini memang sentiasa sukar. Ia sentiasa menjadi lawan yang sukar buat kami.
“Penalti (oleh Fulhan) tidak sepatutnya penalti. Saya tidak tahu mengapa ia diberikan dan kami tidak melakukan percubaan tepat ke gawang lawan pada 20 minit awal. Walau bagaimanapun pemain beraksi dengan baik dan terus tenang,” kata Mancini.
Menurutnya, mereka tidak begitu bernasib baik sepanjang tiga atau empat minggu lalu kerana mereka sepatutnya menang.
“Kami mengawal perlawanan dan layak mendapatkan jaringan hari ini. Jika kami kalah, ia merupakan saat yang buruk, namun kami menang perlawanan ini.
“Perjalanan musim ini masih panjang namun ia penting buat kami sentiasa mengekori Chelsea,” katanya.
Mancini menamakan Aguero dan Carlos Tevez dalam pasukan yang sama untuk mencatat kemenangan kedua musim ini, manakala Fulham tanpa penyerang mereka yang cedera, Dimitar Berbatov. — Utusan
Luahan Perasaan