EPL 2010/2011 bermula
Prospek 10 Pasukan Pilihan
CHELSEA
- Pengurus: Carlo Ancelotti
- Musim lalu: Juara Liga Perdana, pusingan kedua Liga Juara-Juara, juara Piala FA, suku akhir Piala Liga.
- Masuk: Benayoun (Liverpool) 5 juta pound (RM24.8 juta).
- Keluar: Ricardo Carvalho (Real Madrid) 8 juta pound (RM39.6 juta), Michael Ballack (Bayer Leverkusen) percuma, Juliano Belletti (Fluminense) percuma, Cole (Liverpool) percuma, Deco (Fluminense) dilepaskan, Miroslav Stoch (Fenerbahce) tidak didedahkan, Rhys Taylor (Crewe) pinjaman dua bulan, Ryan Bertrand (Nottingham Forest) pinjaman enam bulan.
- Prospek: Kemasukan pemain tengah Israel, Yossi Benayoun dari Liverpool masih tidak cukup. Banyak pihak meramalkan Chelsea sepatutnya berbelanja besar untuk menghadapi musim baru, apatah lagi selepas skuad Blues kehilangan ramai pemain berpengalaman diketuai Joe Cole, Ricardo Carvalho, Juliano Belletti serta Michael Ballack. Pemain antarabangsa Ghana, Michael Essien tampak agak berkarat di bahagian tengah selepas berehat panjang musim lalu akibat kecederaan.
- Kepincangan Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA, yang dirangkul musim lalu mula terserah selepas kalah kepada musuh tradisi, Manchester United 1-3 dalam saingan Perisai Komuniti musim lalu. Sesuatu yang serius perlu dilakukan jurulatih mereka, Carlo Ancelotti jika mahu mengekalkan gelaran di London kerana ketika ini, pemain muda seperti Jeffrey Bruma atau Gael Kakuta, nampak belum cukup menyerlah.
MANCHESTER UNITED
- Pengurus: Alex Ferguson
- Musim lalu: Naib juara Liga Perdana, suku akhir Liga Juara-Juara, pusingan ketiga Piala FA, juara Piala Liga.
- Masuk: Chris Smalling (Fulham) 10 juta pound (RM49.5 juta), Javier Hernandez (Guadalajara) 6 juta pound (RM29.7 juta).
- Keluar: Ben Foster (Birmingham City) 4 juta pound (RM19.8 juta).
- Prospek: Kempen awal Manchester United untuk merampas kejuaraan Liga Perdana England menampakkan petanda positif, selepas pasukan itu mengalahkan musuh ketat, Chelsea 3-1 dalam perlawanan Perisai Komuniti.
- Biarpun berpegang kepada polisi mempercayai pemain muda, sambil menolak sebarang cadangan untuk berbelanja besar dalam pasaran jual beli pemain, skuad bimbingan Alex Ferguson ini tetap seperti kebiasaan - menampilkan barisan yang mampu mencabar kejuaraan liga.
- Kemasukan bintang penyerang Mexico, Javier Hernandez diharap mampu membantu mereka merealisasikan misi merampas kejuaraan. Ferguson turut memasang harapan tinggi terhadap Smalling, selain masih menaruh kepercayaan tinggi kepada tonggak lama seperti Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Patrice Evra untuk memburu rekod kejuaraan Liga Perdana England ke-19.
ARSENAL
- Pengurus: Arsene Wenger
- Musim lalu: Tangga ke-3 Liga Perdana, suku akhir Liga Juara-Juara, pusingan keempat Piala FA, suku akhir Piala Liga.
- Masuk: Laurent Koscielny (Lorient) 10 juta pound (RM49.5 juta), Marouane Chamakh (Bordeaux) percuma.
- Keluar: Mikael Silvestre (Dilepaskan), William Gallas (Dilepaskan), Sol Campbell (Newcastle United) percuma, Eduardo (Shakhtar Donetsk) 6 juta pound (RM29.7 juta), Philippe Senderos (Fulham) percuma, Fran Merida (Atletico Madrid) percuma, Luke Ayling (Yeovil) percuma, Francis Coquelin (Lorient) pinjaman, Sanchez Watt (Leeds) pinjaman.
- Prospek: Lima tahun tanpa sebarang trofi merupakan penantian panjang yang amat meresahkan buat peminat Arsenal, begitupun berjaya mengekalkan bintang tengah dan ketua pasukan, Cesc Fabregas dari disambar Barcelona adalah motivasi terbaik buat skuad Gunners, apabila memulakan kempen musim baru dengan menentang Liverpool, esok.
- Sekalipun dengan kelibat Fabregas dan dua pemain baru dari Perancis, Laurent Koscielny dan Marouane Chamakh, yang menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan pra-musim, ia tidak cukup menghadirkan kejuaraan di Stadium Emirates, andai pemain memberi komitmen kurang daripada 100 peratus.
TOTTENHAM HOTSPUR
- Pengurus: Harry Redknapp
- Musim lalu: Tangga ke-4 Liga Perdana, separuh akhir Piala FA, suku akhir Piala Liga.
- Masuk: Sandro (6 juta pound (RM29.7 juta), Internacional).
- Keluar: Adel Taarabt (Queens Park Rangers) 1 juta pound (RM4.9 juta), Dorian Dervite (Villarreal) percuma.
- Prospek: Tottenham mengharungi saingan yang menakjubkan di bawah Harry Redknapp musim lalu, pencapaian yang melayakkan Redknapp menerima anugerah Pengurus Terbaik. Bagaimanapun selepas berjaya mengatasi Liverpool dan Manchester City untuk menghuni tangga keempat liga, Spurs dijangka berdepan kesukaran untuk mengekalkan kedudukan tersebut pada musim baru ini.
- Selepas berbelanja besar sejak beberapa tahun lalu, Spurs bagaimanapun kurang aktif dalam pasaran jual beli pemain, biarpun mengakui memerlukan beberapa tenaga pemain baru. Mereka hanya melakukan satu transaksi, mendapatkan pertahanan tengah Brazil, Sandro dari Internacional.
MANCHESTER CITY
- Pengurus: Roberto Mancini
- Musim lalu: Tangga ke-5 Liga Perdana, pusingan kelima Piala FA, separuh akhir Piala Liga.
- Masuk: Yaya Toure (Barcelona) 25 juta pound (RM124 juta), David Silva (Valencia) 24 juta pound (RM119.15 juta), Aleksandar Kolarov (Lazio) 16 juta pound (RM79.4 juta), Jerome Boateng (Hamburg) 10 juta pound (RM49.6 juta).
- Keluar: Javier Garrido (Lazio) tidak didedahkan, Benjani (dilepaskan), Sylvinho (dilepaskan), Martin Petrov (Bolton Wanderers) percuma, Valeri Bojinov (Parma) tidak didedahkan, Martin Petrov (Bolton) percuma, Paul Marshall (Walsall) percuma.
- Prospek: Selepas menamatkan kempen di tangga kelima musim lalu, City terus berbelanja besar dan mengatasi semua pencabarnya dalam pasaran jual beli pemain dengan harapan untuk mencabar kejuaraan liga dengan lebih serius.
- Selepas berbelanja besar hampir 80 juta pound (RM396.8 juta) setakat ini, cabaran terbesar pengurus, Roberto Mancini adalah untuk menukar pelaburan mereka kepada kejuaraan.
- “Saya teruja? Ya, sangat teruja. Malah, biarpun pasaran jual beli pemain belum tamat dan masih ada pemain yang boleh datang, saya rasa kami akan mengharungi musim yang bagus. Saya percaya, kami memiliki skuad yang mampu melakar kejayaan dan penyokong kami berhak mendapatkannya,” kata Mancini.
ASTON VILLA
- Pengurus sementara: Kevin MacDonald
- Musim lalu: Tangga ke-6 Liga Perdana, kelayakan Liga Europa, separuh akhir Piala FA, naib juara Piala Liga.
- Masuk: Tiada.
- Keluar: Wilfred Bouma (dilepaskan), Marlon Harewood (dilepaskan), Nicky Shorey (West Bromwich Albion) tidak didedahkan, Stephen O’Halloran (Coventry) tidak didedahkan.
- Prospek: Perletakan jawatan Martin O’Neill secara mengejut hanya lima hari sebelum Vila memulakan saingan musim baru, benar-benar merencatkan persiapan mereka.
- Selepas menamatkan kempen dengan menduduki tangga keenam musim lalu, sukar untuk meramalkan apakah yang mampu dilakukan Villa musim ini, apatah lagi mereka antara pasukan yang paling sepi dalam pasaran jual beli pemain. Walau siapapun yang bakal mengambil alih jawatan pengurus, cabaran yang bakal dihadapi amat mencabar.
LIVERPOOL
- Pengurus: Roy Hodgson
- Musim lalu: Tangga ke-7 Liga Perdana, peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, separuh akhir Liga Europa, pusingan ketiga Piala FA, pusingan keempat Piala Liga.
- Masuk: Joe Cole (Chelsea) percuma, Milan Jovanovic (Standard Liege) percuma, Danny Wilson (Rangers) 5 juta pound (RM 24.7 juta), Jonjo Shelvey (Charlton) 1.7 juta (RM8.4 juta).
- Keluar: Yossi Benayoun (Chelsea) 5 juta pound (RM24.8 juta), Philipp Degen (VfB Stuttgart) pinjaman, Albert Riera (Olympiakos) 5 juta pound (RM24.8 juta).
- Prospek: Musim buruk yang diharungi Liverpool mendorong kepada pemecatan jurulatih, Rafa Benitez untuk digantikan dengan Roy Hodgson. Bagaimanapun skuad Reds mampu menunjukkan prestasi yang baik musim ini dengan kombinasi pemain yang ada. Mereka cuma perlu mengekalkan konsistensi jika mahu menamatkan kemarau 20 tahun tanpa gelaran Liga Perdana.
- Berjaya mengekalkan dua tonggak penting, Fernando Torres dan Steven Gerrard satu berita baik buat Liverpool, selain ditambah dengan kemasukan pemain berprofil tinggi, Joe Cole secara percuma dari Chelsea.
EVERTON
- Pengurus: David Moyes
- Musim lalu: Tangga ke-8 Liga Perdana, pusingan kedua Liga Europa , pusingan keempat Piala FA, pusingan keempat Piala Liga.
- Masuk: Jan Mucha (Legia Warsaw) tidak didedahkan, Jermaine Beckford (Leeds United) percuma, Magaye Gueye (Strasbourg) 1 juta pound (RM4.9 juta).
- Keluar: Dan Gosling (Newcastle United) percuma.
- Prospek: Dengan bajet yang serba terhad, David Moyes berdepan cabaran hebat untuk membawa Everton muncul antara empat pasukan teratas pada musim baru. Namun, apa yang sedikit melegakan jurulatih itu adalah persetujuan pemain tengah, Mikel Arteta untuk melanjutkan kontraknya di Everton.
- “Kami tidak membelanjakan wang seperti kebanyakan kelab Liga Perdana yang lain, kerana kami benar-benar tidak mempunyai wang. Saya rasa secara keseluruhannya dalam tempoh lapan tahun ini, kami cuma membelanjakan 5 juta pound,” akui Moyes.
BIRMINGHAM CITY
- Pengurus: Alex McLeish
- Musim lalu: Tangga ke-9 Liga Perdana, suku akhir Piala FA, pusingan ketiga Piala Liga.
- Masuk: Nikola Zigic (Valencia) 6 juta pound (RM29.7 juta), Ben Foster (Man. United) 4 juta pound (RM19.2 juta), Enric Valles (NAC Breda) percuma.
- Keluar: Lee Carsley (Coventry) percuma, Gary McSheffrey (Coventry) percuma, Artur Krysiak (Exeter) percuma, Franck Queudrue (dilepaskan).
- Prospek: Dengan disokong pemilik baru, hartawan Hong Kong, Carson Yeung, Birmingham berjaya menempatkan diri di kelompok pasukan teratas buat kali pertama dalam tempoh 51 tahun.
- Skuad bimbingan Alex McLeish itu sebelum ini sering berdepan kesukaran untuk bersaing dengan kelab utama sejak naik dari Liga Kejuaraan, namun menamatkan kempen di tangga kesembilan musim lalu merupakan pencapaian yang baik, berterima kasih kepada prestasi menakjubkan penjaga gol, Joe Hart.
- Musim ini, Hart akan kembali ke pangkuan kelab asalnya, Manchester City. Namun ia bukan masalah besar buat McLeish kerana dia berjaya membawa masuk penjaga gol harapan Manchester United, Ben Foster, selain turut mendapat sentuhan penyerang Serbia, Nikola Zigic.
BLACKBURN ROVERS
- Pengurus: Sam Allardyce
- Musim lalu: Tangga ke-10 Liga Perdana, pusingan ketiga Piala FA, separuh akhir Piala Liga.
- Masuk: Mame Biram Diouf (Man. United) pinjaman.
- Keluar: Steven Reid (West Brom) percuma, Andy Haworth (Bury) percuma, Marcus Marshall (Rotherham) percuma.
- Prospek: Sukar untuk ditewaskan, Blackburn seringkali dilabel sebagai pasukan liat buat kelab-kelab utama Liga Perdana. Cita-cita Sam Allardyce tidak terlalu besar, cukup jika berjaya mengekalkan pasukannya dalam liga utama England itu.
- Kegigihan pemain-pemainnya, selain sikap tidak gentar mereka sering mengundang masalah kepada pasukan besar, namun apabila berdepan lawan setaraf, Blackburn mudah melepaskan mata.
- “Kita tengok kalau kami boleh menjangkaui ramalan orang ramai, kemudian barulah boleh saya memikirkan tentang membimbing skuad kebangsaan,” kata Allardyce, yang memberikan tempoh dua tahun kepada dirinya untuk membimbing skuad liga sebelum mengalih tumpuan kepada pengurusan skuad antarabangsa.
Luahan Perasaan