Sukar untuk menang di Nou Camp - Mourinho


BEBERAPA pemain Barcelona dan dan Real Madrid cuba mempengaruhi pengadil pada aksi suku akhir kedua Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) semalam.

JOSE Mourinho tidak kecewa dengan taktikal bertahan yang digunakan selepas Real Madrid tersingkir daripada saingan Piala Raja Sepanyol awal pagi semalam.

Meskipun berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan 2-2 dengan Barcelona di Stadium Camp Nou, Real selaku juara bertahan terpaksa akur dengan kehebatan Barca selepas tewas dengan agregat 4-3.

Pada pertemuan suku akhir pertama di Santiago Bernabeu minggu lalu, Real mencatat kekalahan 1-2.

Masa depan Mourinho semakin tergugat selepas dia diejek penyokong sendiri minggu lalu setelah laporan mendedahkan dia bertengkar dengan para pemain sebaik kekalahan tersebut.

Ketika ditanya adakah beliau kecewa dengan strategi pada perlawanan pertama, pengendali kelahiran Portugal itu menegaskan: “Tidak.

“Kami melalui satu perlawanan yang baik, para pemain menampilkan aksi yang sangat baik.

“Kami datang ke sini (Barcelona) untuk menang. Kami sedar, kami ketinggalan. Motivasi kami tinggi dan kami mahu menang.”

Dalam pada itu, Mourinho dan para pemain Real sekali lagi mengkritik keputusan pengadil berikutan kekalahan pasukan tersebut.

Mourinho membidas tindakan pengadil ekoran jaringan gol Sergio Ramos yang tidak diterima sebelum pemain pertahanan itu dilayangkan kad merah kerana menghayunkan tangannya ke muka pemain Barcelona, Sergio Busquets.

Bagaimanapun, Mourinho enggan mengulas mengenai pengadil yang telah ditugaskan untuk perlawanan tersebut.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai pengadil tersebut.

“Saya dengar para pemain saya memberitahu dalam bilik persalinan bahawa sukar untuk menang di sini. Saya tahu kerana saya pernah datang ke sini sebelum ini bersama Chelsea, Inter Milan dan Madrid dalam banyak perlawanan.

“Saya tidak mahu berfikiran negatif. Saya harap orang yang lebih mahir mengenai bola sepak daripada saya menyaksikan perlawanan ini,” kata Mourinho. — Kosmo

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>