Ulasan Shebby: Barcelona vs Real Madrid

Pertemuan El Clasico di Nou Camp bakal menguji kewibawaan Mourinho

KINI tiba masanya menyaksikan perlawanan bola sepak terhebat sejak final Piala Dunia 2010.

Di Nou Camp, dua gergasi bola sepak dunia, Barcelona selaku tuan rumah menanti musuh ketat Real Madrid, awal pagi Selasa ini.

Perlawanan dilabel sebagai ‘El Clasico’ tepat dengan gelaran ini kerana menjadi pentas pemain terbaik dunia. Liga Perdana Inggeris musim ini begitu lembap dengan kekurangan pasukan utama begitu menyerlah.

Kelemahan ketara adalah persembahan turun naik serta kehilangan pemain bintang bertaraf dunia. Chelsea begitu lemah di bahagian pertahanan tengah. Arsenal pula sering melakukan hara kiri kerana kekurangan taktik.

Pasukan yang belum kalah, Manchester United pula diusul berjumpa doktor untuk mengubati penyakit umpama insomnia.

Di Serie A pula kegagalan melahirkan bintang baru menyebabkan liga Itali itu mungkin memaksa Jabatan Kesihatan mengeluarkan amaran ‘produk ini boleh menyebabkan koma’.

Musim ini, Barcelona tewas kepada Hercules di Nou Camp dan kemudian seri dengan Mallorca. Walaupun hilang lima mata, Barcelona kini hanya satu mata di belakang Real.

Tidak banyak kelemahan dimiliki Barcelona dan Lionel Messi sudah tentunya pemain terbaik mereka. Pemain ini membuktikan kebolehan luar biasa dalam semua perlawanan La Liga musim ini terutamanya ketajaman menghidu peluang menjaringkan gol. Kebolehan memecut ala kereta Ferrari memberi pelbagai masalah kepada lawan.

Kelincahan serta ketenangan penjaga gol, Victor Valdes memberi keyakinan kepada benteng pertahanan yang mungkin sedikit kekurangan di posisi bek kiri. Pemain Perancis, Eric Abidal serta Maxwell dari Brazil bersaing merebut posisi bek kiri tapi Abidal dijangka diturunkan mengawasi kepantasan pemain sayap Real, Angel Di Maria.

Tiga pemain tengah pastinya milik Xavi dan Andres Iniesta dibantu Sergi Busquets walaupun ketua pasukan Argentina, Javier Mascherano sudah mula serasi corak permainan pasukan Barcelona.

Bahagian serangan pula diterajui Pedro dengan David Villa di bahagian sayap manakala Messi pula beraksi sebagai penyerang kedua. Kehadirannya mengelirukan pertahanan lawan dan bagaimana pasangan Ricardo Carvalho dan Pepe mengekang pergerakan Messi menjadi satu aspek menarik pertemuan ‘El Clasico’ ini.

Real pula hilang empat mata apabila hanya seri dengan Mallorca serta Levante tapi sejak Cristiano Ronaldo menyedari dia memerlukan rakan sepasukan untuk berjaya kesebelasan Real kini lebih serasi.

Bahagian pertahanan Real belum begitu mantap memaksa pemain tengah, Xabi Alonso serta Sami Khedira bekerja keras memastikan benteng kukuh.

Penyerang utama Real, Gonzalo Higuain yakin menembusi sebarang benteng tapi keputusan pertembungan ini mungkin ditentukan Mesut Ozil dan Busquets.

Kelicikan bintang muda Jerman itu mampu menembusi kekangan Busquets dan membuka ruang untuk jentera serangan Real.

Jangan lupa pula kepahitan dirasai Messi di tangan Ozil di Piala Dunia 2010 apabila Argentina mudah dibelasah Jerman. Bezanya, Barcelona mungkin lebih mantap beraksi bersama jika dibanding Real.

Akhirnya, kepada semua majikan, harap maafkan pekerja yang bakal tidak hadir bertugas pada keesokan hari!

Ditulis oleh Shebby Singh di Harian Metro, 27 Nov 2010

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>