Newcastle menang tipis ke atas Arsenal

Jaringan tunggal Andy Carrol sudah cukup buat Newcastle kutip tiga mata

ARSENAL dikejutkan dengan kekalahan kedua di gelanggang sendiri musim ini apabila tewas 0-1 kepada Newcastle United di Stadium Emirates, malam tadi.

Kemenangan itu cukup bermakna buat Newcastle yang kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana England musim ini, sekali gus berada dalam kelompok empat pasukan terbaik.

Penyerang Newcastle, Andy Carroll menjadi wira pasukannya apabila bijak memanfaatkan kealpaan Fabianski, pada penghujung separuh masa pertama untuk memberi kemenangan pertama kelab itu dalam tempoh lima tahun ke atas Arsenal. [LIHAT VIDEO]

Kemenangan berkenaan melonjakkan Newcastle dari tangga ketujuh ke tempat kelima, tiga mata di belakang Arsenal yang mengumpul 20 mata.

Arsenal bertambah malang apabila pemain pertahanan, Laurent Koscielny dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak kedua, ketika anak-anak buah Arsene Wenger mengasak mencari gol penyamaan.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Gunners di tempat sendiri musim ini, selepas tewas kepada West Brom 2-3 pada 25 September lepas dan tunduk kepada Shakhtar Donestk 1-2, Khamis lalu.

Semuanya serba tidak menjadi buat Arsenal semenjak minit pertama perlawanan lagi, apabila banyak gerakan mudah dipatahkan oleh pertahanan Newcastle.

Sepakan percuma ketua pasukan, Cesc Fabregas pada minit ke-12 sekadar singgah di palang, walaupun Tim Krul sudah tertewas.

Setelah menyedari ketinggalan 0-1 pada permulaan separuh masa kedua, pemain sayap England, Theo Walcott bekerja keras mencari gol penyamaan, tetapi percubaannya sekali lagi terkena palang.

Wenger yang melihat jentera Arsenal agak lesu, memasukkan Andrei Arshavin pada minit ke-56, menggantikan Samir Nasri serta Robin van Persie dan mengeluarkan Marouane Chamakh bagi membuat penampilan pertama semenjak Ogos lalu, selepas pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, kehadiran mereka gagal menambah sengat serangan Arsenal, malah pertahanan Newcastle yang diketuai Fabricio Colloccini dan Michael Williamson, mudah mematahkan hantaran pemain Arsenal berhampiran kotak penalti.

Biarpun Nicklas Bendtner masuk menggantikan Jack Wilshere, cabaran fizikal pemain Newcastle jelas gagal ditandingi pemain Arsenal yang menyebabkan Gunners berputih mata dan meletakkan peluang mereka untuk mencabar Chelsea di tangga teratas semakin kendur.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>