Andre Villas-Boas dipecat, Chelsea lantik Di Matteo pengurus sementara
Chelsea pecat Villas-Boas susulan tewas 0-1 kepada West Brom
ANDRE Villas-Boas telah dipecat oleh Chelsea, tidak sampai setahun mengendalikan pasukan berpengkalan di Stamford Bridge, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi kelab berkenaan.
Bekas pemain Chelsea, Roberto Di Matteo, yang bekerja sebagai pembantu Villas-Boas dilantik sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim.
Viilas-Boas yang tiba dari Porto pada Jun 2011, telah gagal menghadirkan impak kepada kelab itu apabila sekadar membawa Chelsea di tangga kelima liga Perdana Inggeris ketika ini.
Malah Blues berada pada ambang penyingkiran Liga Juara-Juara apabila kalah 1-3 kepada Napoli pada pertemuan timbal balik pertama pusingan kedua.
Malahan, pengurus berusia 34 tahun itu berdepan masalah hubungan yang kurang baik dengan beberapa pemain bintang Chelsea termasuk bintang tengah England, Frank Lampard serta hanya memenangi satu perlawanan dalam tujuh aksi terakhir yang memaksa pemilik kelab, Roman Abramovich memecat Villas-Boas.
Satu kenyataan yang dimuat menerusi laman web kelab itu menyebut: “Malangnya keputusan dan pencapaian pasukan tidak cukup bagus dan tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan pada waktu penting sesi (yang berlangsung sekarang) ini.”
“Kelab masih bersaing dalam peringkat Liga Juara-juara UEFA dan Piala FA Cup, dan juga kedudukan empat teratas yang mencabar dalam Liga Perdana, dan kami mahu kekal bersaing sedaya yang boleh dari semua segi.
“Dengan perkiraan ini, kami merasakan satu-satunya opsyen yang ada adalah melakukan perubahan sekarang,” kata kenyataan itu lagi.
Pada aksi terakhir kelmarin Chelsea tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion.
Luahan Perasaan