Mancini: Balotelli mangsa provokasi
PENGURUS Manchester City, Roberto Mancini menuduh provokasi barisan pemain Liverpool sebagai punca Mario Balotelli dilayangkan kad merah oleh pengadil, Martin Atkinson.
Mancini menyuarakan kemarahan tersebut selepas menyaksikan anak-anak buahnya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Liverpool pada aksi Liga Perdana England di Anfield awal pagi semalam.
Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian dilayangkan kad merah oleh Atkinson selepas menerima kad kuning kedua ekoran tindakannya yang menyiku tonggak pertahanan Liverpool, Martin Skrtel pada minit ke-83.
Meskipun Mancini tidak mempertikaikan keputusan yang dibuat Atkinson itu, dia menganggap provokasi yang dilakukan barisan pemain Liverpool yang mendesak pengadil melayangkan kad kuning kedua kepada Balotelli adalah satu tindakan yang salah.
“Itu yang saya rasakan. Pada pandangan saya, pengadil (Atkinson) hanya mahu menghadiahkan sepakan percuma tetapi selepas semua pemain Liverpool mendesak, pengadil dilihat seolah-olah terpaksa melayangkan kad kunig kedua.
“Saya hanya kecewa dengan tindakan kurang bijak Balotelli ketika dia menerima kad kuning pertama tetapi bukannya yang kedua.
“Bagi saya, dia tidak sepatutnya dilayangkan kad kuning kedua malah saya yakin pengadil juga tidak mahu melayangkan kad kuning kepada Balotelli.
“Sudah banyak kali saya beritahu bahawa Balotelli akan melakukan apa sahaja dan memang suatu yang sukar untuk mengubah sikap pemain itu dalam masa sebulan.
“Sejak tiga bulan lalu, dia beraksi dengan baik dan menjaringkan gol. Ternyata dia merupakan seorang pemain yang penting buat kami (City),” kata Mancini.
Pada aksi tersebut, City terlebih dahulu berada di depan selepas Vincent Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-31.
- Video Liverpool vs Manchester City 1-1 | EPL 2011/2012
Begitupun, dua minit kemudian, Liverpool berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan City, Joleon Lescott yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Meskipun usaha mereka gagal untuk merekodkan kemenangan berturut-turut ekoran keputusan seri itu, City masih unggul selaku pendahulu carta liga dengan mengumpul 35 mata, lima mata meninggalkan pencabar utama mereka, Manchester United.
“Ia masih merupakan keputusan yang baik buat kami kerana kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada 10 minit terakhir perlawanan. Ternyata ia bukan satu tugas mudah buat kami di sini (Anfield),” jelas Mancini. — Kosmo
Luahan Perasaan