Harapan Chelsea makin sukar
HARAPAN Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England semakin pudar setelah seri 1-1 dengan Stoke City di gelanggang lawan malam kelmarin.
Jon Walters meletakkan Stoke di hadapan seawal minit kelapan sebelum tandukan Didier Drogba pada minit ke-33 menyelamatkan Chelsea daripada kekalahan.
Namun, keputusan seri itu hanya meletakkan Chelsea kini kekal di tangga ketiga dengan ketinggalan 11 mata berbanding Manchester United di tangga teratas.
“Saya rasa memang cukup sukar untuk kami mempertahankan kejuaraan,” kata pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti.
Bagaimanapun, Chelsea masih memiliki peluang dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mereka dijadual bertemu United pada aksi suku akhir pertama di Stamford Bridge pada awal pagi Khamis ini.
“Kami tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan. Jadi kami berada pada keadaan terbaik untuk persiapan menghadapi United.
“Memang dalam saingan liga domestik kami begitu sukar untuk merapatkan jurang mata tetapi untuk saingan Liga Juara-Juara, kami masih sama tahap dengan lain- lain pasukan,” jelas Ancelotti.
Pada aksi kelmarin, Ancelotti hanya meletakkan Fernando Torres di bangku simpanan dan dia tetap dilihat menghadapi kesukaran mencari gol sulungnya bersama Chelsea setelah dimasukkan pada 30 minit terakhir. -Kosmo
Luahan Perasaan