Barcelona juara Eropah kali keempat
FINAL: Barcelona 3-1 Manchester United
BARCELONA merangkul gelaran keempat Liga Juara-Juara Eropah dengan bergaya selepas membenam Manchester United 3-1 dalam aksi di Stadium Wembley, awal pagi tadi
Barcelona yang ghairah memburu kejuaraan, memecah kebuntuan pada minit ke-27 selepas mendominasi perlawanan sebaik wisel ditiupkan apabila Pedro Rodriguez berjaya membaca hantaran Xavi Hernandez sekaligus menewaskan penjaga gol United, Edwin van Der Sar.
Bagaimanapun keceriaan mereka tidak lama apabila kesungguhan Manchester United untuk bangkit terbukti dengan sentuhan Wayne Rooney tujuh minit kemudian untuk mengakhiri separuh masa pertama dengan 1-1.
Permainan bersambung tidak seperti yang diharapkan buat peminat Red Devils apabila pasukan dari Catalunya itu terus mendominasi permainan.
Asakan bertali-arus mencerahkan lagi peluang juara 2009 itu memburu gol. Kawalan longgar terhadap Lionel Messi membawa padah buat pertahanan Manchester United yang melepaskan rembatan leret sehingga gagal dibaca Edwin van Der Sar.
Tatkala Messi diberi kawalan ketat, David Villa mencuri perhatian dengan kerja kerasnya sepanjang perlawanan. Penyerang Sepanyol itu membunuh sisa perjuangan lawan untuk menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-70 sekaligus memastikan Barcelona menjuarai Liga Juara Eropah musim 2010/2011.
Sebelum ini Barcelona merangkul gelaran Liga Sepanyol buat kali ketiga berturut-turut, meranapkan harapan musuh tradisi mereka, Real Madrid di kedua-dua kejohanan, liga domestik dan pentas Eropah.
Luahan Perasaan