England menang kerana diejek
Keputusan: Wales 0-2 England
JOHN Terry berkata, England tetap bersemangat apabila menang 2-0 ke atas Wales pada perlawanan kelayakan Euro 2012, walaupun diejek oleh penyokong tuan rumah sebelum perlawanan di Cardiff, semalam.
Penyokong Wales mengejek lagu kebangsaan England, ‘God Save the Queen’ sebelum sepak mula dan mengejek Terry setiap kali pemain itu menyentuh bola pada perlawanan di Stadium Millenium.
Walaupun bertalu-talu diejek oleh penyokong lawan, England memberikan respons yang berbeza melalui jaringan Frank Lampard dan Darren Bent pada 15 minit awal perlawanan, yang menyebabkan 70,000 penyokong Wales terdiam.
“Mereka mengejek kami termasuk ketika lagu kebangsaan dimainkan. Apabila anda jauh dari negara sendiri dan mendapat layanan seperti itu, ia akan membuatkan anda bertambah semangat dan mahu menyanyi dengan lebih kuat.
“Pemain tambah bersemangat dan menyanyi dengan kuat serta bangga.
“Saya rasa kami bermula dengan baik disebabkan ejekan.
“Kami begitu positif selepas mendapat layanan seperti itu dan mampu menjaringkan dua gol awal.
“Ia membuatkan saya bangga dengan prestasi yang dipamerkan,” kata Terry.
Selepas pelbagai kontroversi menyelubungi Terry berikutan pelantikan semula beliau sebagai ketua pasukan apabila Fabio Capello memutuskan untuk menggantikan Rio Ferdinand, dia berjaya mengubah minggu yang penuh dengan tekanan kepada kejayaan.
“Saya sangat gembira kami dapat mencatatkan kemenangan. Saya bercakap mengenai perasaan saya sepanjang minggu ini.
“Saya begitu bangga selepas diberikan tugas menjadi ketua pasukan sekali lagi.
“Saya bercakap dengan pemain lain, juga dengan pengurus pada Isnin lalu. Saya mahu mengadakan sidang akhbar pada Selasa untuk menjelaskan semua perkara.
“Kami berlatih dengan baik sepanjang minggu ini dan prestasi terbaik merupakan kemuncak kepada segalanya. Saya rasa prestasi kami, terutama pada separuh masa pertama adalah sangat baik,” katanya.
Terry memilih untuk memuji rakan sepasukan berbanding tugasnya sebagai kapten, yang berjaya membawa England mencatat kemenangan.
Dia begitu kagum dengan rakan gandingannya, Michael Dawson dan memuji penyerang Aston Villa, Ashley Young berikutan persembahan yang dinamik dan Scott Parker serta Jack Wilshere, yang mengemudi bahagian tengah dengan baik. -Utusan Malaysia
Luahan Perasaan