Kelayakan EURO 2012: Jerman menang mudah

JARINGAN berganda masing-masing menerusi Thomas Mueller dan Miroslav Klose memastikan Jerman menang selesa 4-0 ke atas Kazakhstan, bagi menjarakkan kelebihan sebagai pendahulu kepada lapan mata dalam Kumpulan A kelayakan Euro 2012.

Jerman kekal dengan momentum sama selepas menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia tahun lalu dengan lima kemenangan berturut-turut dan mengumpul 15 mata, melepaskan satu gol dan menjaringkan 17 gol.

Klose mencatat jaringan keenam pada peringkat antarabangsa musim ini selepas menampan bola masuk pada minit ketiga dan penjaring terbanyak Piala Dunia 2010, Mueller mendapatkan dua gol sebelum rehat hasil gerakan pemain Real Madrid, Mesut Ozil.

“Adalah cukup penting untuk mengekalkan prestasi yang sama seperti pada Piala Dunia pada musim ini dan kami telah melakukannya.

“Bukan sesuatu yang mudah atau menarik apabila pasukan lawan lebih banyak bertahan tetapi kami telah melakukan tugasan dengan baik, ” kata Mueller.

Kazakhstan yang menduduki tangga terakhir kumpulan dan 129 tangga di bawah ranking yang dihuni Jerman, terpaksa menahan asakan bertali arus daripada tuan rumah namun terus bertahan pada babak kedua.

Bagaimanapun, Klose meraih jaringan peribadi ke-61 bersama Jerman dalam 107 perlawanan, dua minit sebelum tamat perlawanan.

Jerman menduduki tangga teratas kumpulan tetapi Austria mampu merapatkan jurang kepada lima mata, jika menang ke atas Turki Esok.

“Pada separuh masa pertama, kami bermain cukup baik dan kami mendapat banyak peluang tetapi pada separuh masa kedua, kami seolah-olah seperti ‘kehabisan gas’, ” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>