David Villa penjaring terbanyak Sepanyol

DAVID Villa kini menjadi penjaring terbanyak Sepanyol selepas meledakkan dua gol buat juara dunia itu ketika bangkit menewaskan Republik Czech 2-1 pada aksi kelayakan Euro 2012 awal pagi semalam.

Selepas Jaroslav Plasil memberi pasukan lawan kelebihan 1-0 pada minit ke-29, Villa tampil menyamakan kedudukan buat skuad La Rojas itu pada minit ke-69 sebelum menambah gol kedua menerusi penalti empat minit kemudian.

Ini adalah gol ke-45 dan 46 penyerang Barcelona itu buat negaranya, sekali gus menyaksikan dia mengatasi rekod yang dipegang bekas penyerang Real Madrid, Raul dengan kelebihan dua jaringan.

Gol itu juga membantu Sepanyol mengekalkan rekod bersih mereka dengan empat kemenangan dalam kempen kelayakan.

“Saya tujukan gol ke-45 ini kepada semua rakan sepasukan saya,” kata Villa yang turut meledakkan lima gol ketika Sepanyol menjuarai Piala Dunia buat kali pertama tahun lalu.

“Saya benar-benar mahukannya (rekod jaringan ini), terutamanya kerana ia satu perlawanan yang sukar dan tidak bermula seperti yang kami harapkan.”

Ketika ketinggalan 0-1, jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque membawa masuk Fernando Torres menggantikan Xabi Alonso pada masa rehat sebelum Villa yang menyertai Barcelona dari Valencia hujung musim lalu menjadi penyelamat kepada mereka.

“Gol pasukan lawan itu amat mengejutkan kami, namun ia juga membuatkan kami terjaga dari lena,” kata Del Bosque.

“Ia menyebabkan saya terpaksa mengeluarkan beberapa pemain untuk memberi respon dan kami memiliki ramai pemain yang mampu mengubah permainan.

“Dua belas mata daripada empat perlawanan adalah kedudukan yang ideal tetapi kami perlu juga mengekalkannya.”

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>