Jerman, Uruguay ubati duka Piala Dunia 2010

PENENTUAN tempat ketiga dianggap satu perlawanan bola sepak paling sukar. Selepas beberapa hari mengalami detik teruk selepas gagal melangkah ke perlawanan akhir, Uruguay dan Jerman kini mempersiapkan diri untuk aksi terakhir mereka di Afrika Selatan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu untuk penentuan tempat ketiga di Stadium Nelson Mandela Bay, di Port Elizabeth, awal pagi esok.

Selalunya, peminat-peminat tidak akan mengingati pasukan yang berada di tangga ketiga Piala Dunia.

Namun begitu, peluang seumpama ini sebenarnya membuka ruang kepada Uruguay dan Jerman untuk menebus kegagalan mereka di Afrika Selatan, selepas kedua-duanya tersingkir kerana perbezaan satu gol.

Uruguay seakan mengimbas kembali memori manis terdahulu pada 1930 dan 1950 apabila skuad negara itu berjaya melangkah ke separuh akhir.

Menurut penyerang Uruguay, Diego Forlan, skuad itu masih belum meninggalkan Cape Town dengan kemusnahan, biarpun tumpas 2-3 kepada Belanda di separuh akhir.

Katanya, pasukan itu masih mempunyai satu lagi peluang untuk menebus kehampaan apabila bertemu Jerman bagi penentuan tempat ketiga.

“Kami (Uruguay) begitu hampir untuk ke perlawanan akhir Piala Dunia dan pasukan ini telah melepaskan peluang terbaik tersebut,” kata Forlan.

Bagi Jerman, kekalahan tipis 0-1 kepada Sepanyol ternyata begitu memeritkan, setelah mengambil kira penguasaan mereka sejak peringkat kumpulan sehingga suku akhir.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut negara itu tumpas di separuh akhir Piala Dunia, selain terlepas peluang merangkul kejuaraan pada 2002 apabila kalah di perlawanan akhir.

Jerman turut kecewa pada perlawanan akhir Euro 2008 apabila tunduk kepada Sepanyol 0-1.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>