Johan Cruyff ramal Sepanyol juara

LEGENDA bola sepak Belanda, Johan Cruyff semalam mengambil risiko meminggirkan negaranya sendiri apabila beliau bertegas menginginkan Sepanyol memenangi Piala Dunia.

Cruyff, pendukung falsafah ‘Total Football‘ oleh Rinus Michel pada 1974, telah lama menjadi penduduk Barcelona.

Namun, apabila Belanda bercadang untuk mengadakan perarakan kemenangan di sepanjang Amsterdam, Selasa ini, bekas perancang bola sepak ini menyokong Sepanyol untuk menewaskan skuad bimbingan Bert Van Marwijk.

“Saya seorang rakyat Belanda tetapi saya akan tetap mempertahankan permainan bola sepak Sepanyol.

“Sekiranya anda bermain secara serangan seperti yang dilakukan Sepanyol, anda akan memperoleh lebih banyak peluang untuk menang.

”Sebaliknya, jika anda cuba untuk bermain dengan menentang pasukan yang gemar menguasai bola, anda sepatutnya menderita.

“Jika anda cuba untuk mengalahkan Sepanyol, mereka akan ‘membunuh’ anda dan Belanda sekarang tahu bahawa mereka akan bertemu pasukan terbaik di dunia.

“Apabila anda melihat Sepanyol, Barcelona, Xavi, Iniesta, Busquets dan Pedro di barisan tengah, mereka adalah pemain yang mahukan bola tetapi akan meletakkan tekanan tinggi di padang untuk memenanginya kembali.

“Kini, selayaknya Sepanyol berada di final. Setahu saya, perlawanan itu nanti hanya berkisar tentang kemenangan. Sepanyol mempunyai generasi pemain bola sepak yang hebat tetapi mungkin tidak akan berkesempatan untuk mendapat peluang sebegini lagi.

“Saya tahu seluruh rakyat Belanda mahukan pertemuan bersama Jerman di final kerana mereka takutkan Sepanyol akan mudah menguasai bola selama 90 minit.

”Peluang terakhir mereka adalah merebut peluang sekiranya Sepanyol gagal melaksanakannya, seperti yang dilakukan skuad itu ke atas Jerman.

“Sekiranya Sepanyol gagal, itu adalah permainan mereka tetapi saya akan merasa sangat gembira sekiranya mereka menang,” kata Cruyff.

Kritikan terbaru Cruyff itu muncul meskipun jurulatih, Bert van Marwijk percaya bahawa pasukannya bertuah kerana mewarisi baju Oranje yang sama ketika zaman Cruyff dan teman sepasukannya.

Jurulatih Belanda itu berkata, pasukan bola sepak Belanda pada 1974 dan 1978 merupakan inspirasi kepada mereka.

“Kini, kita berada pada zaman berbeza. Saya tidak akan memikirkan mengenai legasi yang akan kami tinggalkan buat masa ini. Kami harus bermain dalam perlawanan terlebih dahulu sebelum anda boleh menanyakan soalan sama selepas itu.”

Sementara itu, van Marwijk juga mempertahankan penyerang Arsenal, Robin van Persie yang dikritik kerana hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam enam kemunculan setakat ini.

Beliau berkata, Robin telah bertambah baik pada perlawanan terakhir dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya kerana dia cergas ketika ini.

“Robin merupakan salah satu pilihan kesebelasan dan kami bermain dengan baik. Setiap kali Robin bermain, saya merasakan dia akan bermain dengan sebaik mungkin pada perlawanan di final.”

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>