Belanda, Sepanyol cipta Sejarah
APA jua keputusan yang membabitkan Belanda dan Sepanyol, satu sejarah akan tercatat di bumi Afrika Selatan - sebuah pasukan baru akan muncul menjuarai Piala Dunia 2010.
Sama ada Oranje atau La Roja, salah satu pasukan itu akan dinobatkan sebagai negara kelapan untuk mendakap piala keagungan sukan bola sepak.
Pertemuan akhir ini sebenarnya layak untuk dikatakan cukup seimbang kerana kedua-dua pasukan mempunyai ramai pemain berkelas dunia.
Sepanyol yang dilihat mempunyai pemain gabungan Barcelona dan Real Madrid semakin menunjukkan persembahan mengagumkan sejak bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Switzerland.
Sementara Belanda merupakan pasukan paling konsisten mencatatkan enam kemenangan berturut-turut dan berpeluang menyamai rekod Brazil yang menjuarai Piala Dunia pada tahun 1970.
Rekod pertemuan jelas memihak kepada Belanda dengan empat kemenangan sementara Sepanyol pula menang dalam tiga perlawanan dengan satu seri.
Pun begitu, ramai penganalisis agak cenderung memilih Sepanyol untuk muncul juara berbanding Belanda ekoran corak persembahan yang konsisten dan mempunyai keseimbangan di segenap posisi.
Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, bijak mengadunkan kekuatan skuad itu dengan meletakkan Xavi dan Andres Iniesta sebagai perancang serta mengharapkan David Villa bertindak sebagai penyudah.
Taktik Sepanyol mudah untuk difahami iaitu mengawal penguasaan bola dan memperlahankan rentak pasukan lawan seperti membenam Jerman dan Portugal.
Belanda yang sering menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam perlawanannya perlu menang dalam penguasaan bahagian tengah jika mahu merencatkan serangan Sepanyol yang selesa mengamalkan pendekatan hantaran pendek dalam gerakan.
Namun, ia bukan satu tugas mudah kerana Xavi Alonso dan Sergio Busquets sudah tentu memberikan kawalan ketat kepada Wesley Sneijder, Arjen Robben dan Dirk Kuyt untuk bergerak secara bebas.
Justeru, Nigel de Jong dan Mark van Bommel perlu mengimbangi kekuatan Sepanyol dengan mengikat Xavi dan Iniesta daripada bermaharajalela melakukan gerakan pemusnah kepada Belanda.
Villa sering menjadi penyelamat Sepanyol dalam setiap perlawanan, boleh diharapkan berbanding penyerang Belanda, Robin van Persie yang hanya mampu menjaringkan satu gol dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Di bahagian pertahanan, kelebihan ternyata memihak Sepanyol kerana dianggotai ramai pemain berprofil tinggi antaranya Carlos Puyol, Gerard Pique dan Sergio Ramos berbanding Belanda.
Ditambah kehadiran Iker Casillas sebagai penjaga gol, Sepanyol cukup kebal di bahagian belakang tetapi kemampuan Maarten Stekelenburg yang merupakan penjaga gol muda yang berpotensi besar tidak kurang hebatnya dan mampu menjadi faktor penentu kejayaan Belanda.
Perlawanan ini juga akan menjadi pertarungan peribadi Sneijder dan Villa dalam perebutan Kasut Emas selepas kedua-duanya telah menjaringkan lima gol.
Luahan Perasaan