Karier David Bechkam bersama England berakhir

Hasrat David Beckham untuk mencipta rekod penampilan terbanyak bersama England berakhir selepas jurulatih, Fabio Capello memberitahu, bekas kapten mereka sudah terlalu tua untuk bermain lagi dengan skuad kebangsaan.

Pemain tengah berusia 35 tahun itu telah beraksi sebanyak 115 kali buat England, rekod kedua tertinggi di belakang penjaga gol, Peter Shilton dengan 125 penampilan dari 1970 hingga 1990.

Beckham terlepas beraksi pada Piala Dunia kali keempat selepas mengalami kecederaan Mac lalu ketika dipinjamkan ke AC Milan dari Los Angeles Galaxy. Dia sudah kembali menyertai latihan LA Galaxy, kelmarin.

Sebelum bermulanya perlawanan persahabatan menentang Hungary semalam, Capello memberitahu stesen televisyen Britain, ITV bahawa Beckham mungkin ‘sudah agak tua’ untuk bermain lagi dengan England, sambil menambah “terima kasih, David.”

Beckham yang memulakan karier di Manchester United pada 1992, membuat penampilan pertama buat England pada September, 1996 menentang Moldova.

Penampilan pertamanya pada Piala Dunia mencipta detik hitam, apabila dia dilayangkan kad merah kerana menentang pemain tengah Argentina, Diego Simeone. England kalah pada perlawanan pusingan kedua dan Beckham menjadi tumpuan kritikan peminat sebaik pulang ke tanah air.

Pada Piala Dunia 2002, dia beraksi sebagai ketua pasukan di bawah jurulatih, Sven-Goran Eriksson, namun melepaskan jawatan itu sebaik tamat Piala Dunia 2006, di mana England tersingkir pada suku akhir.

Beckham gagal mendapat tempat dalam pasukan sebaik England diambil alih Steve McClaren, tetapi kembali dipanggil selepas negara itu mengharungi kempen kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2008) yang buruk dan gagal melayakkan diri.

Kegagalan England itu mendorong pemecatan McClaren pada November, 2008.

Walaupun pada awalnya gagal menarik perhatian Capello, namun karier antarabangsa Beckham selamat, apabila Capello dilantik sebagai jurulatih England.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>