Ronaldo wira Portugal singkirkan Czech
Salah satu aksi Ronaldo ketika Portugal menewaskan Czech 1-0 awal pagi tadi
Portugal menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir Euro 2012 selepas menumpaskan juara Kumpulan A, Republik Czech 1-0 di Stadium National, Warsaw.
Gol kemenangan dijaringkan ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo pada minit ke-79 selepas menanduk masuk hantaran lintang Joao Moutinho seterusnya menewaskan penjaga gol Czech, Petr Cech.
Naib juara Kumpulan B itu akan beraksi di separuh akhir menentang di antara pemenang Sepanyol dan Perancis yang bertemu dalam satu lagi perlawanan suku akhir. Portugal merupakan naib juara Euro 2004.
Dalam aksi awal pagi tadi, Czech memulakan perlawanan dengan agak baik manakala rancangan Portugal adalah untuk menghantar bola kepada Ronaldo di setiap peluang yang mereka dapati dengan harapan kapten mereka dapat membuka tirai perlawanan.
Rembatan beliau beberapa minit sebelum separuh masa terkena tiang sebelum Helder Postiga digantikan oleh Hugo Almeida selepas mengalami kecederaan.
Almeida membazirkan satu peluang yang baik di separuh masa kedua apabila tandukan beliau daripada hantaran Raul Meireles terlalu tinggi.
Sepakan percuma Ronaldo terkena tiang sekali lagi dan perlawanan kelihatan akan menuju ke masa tambahan sebelum penyerang Real Madrid itu menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-79 selepas Moutinho dan Nani bergabung untuk menghantar bola ke dalam kotak penalti.
Luahan Perasaan