Home » Aksi Warm-up, Ukraine » Ukraine terima tamparan

TUAN rumah bersama Euro 2012, Ukraine menerima tamparan besar dalam persiapan menghadapi kejohanan berprestij Eropah itu apabila tewas 3-2 kepada Austria pada aksi persahabatan di tempat lawan semalam.

Penyerang, Marko Arnautovic muncul wira Austria apabila menyumbat dua gol, menyusuli jaringan pembukaan yang dilakukan rakan sepasukan, Zlatko Junuzovic di awal permainan.

Kecemerlangan penyerang Dynamo Kiev, Oleg Gusev meledak jaringan berganda tidak cukup untuk membantu pasukan pelawat.

Austria hanya memerlukan dua minit untuk berada di depan apabila sepakan percuma cantik Junuzovic dari jarak 20 meter berjaya menembusi gawang Ukraine.

Ukraine cuba menyerang balas mencari gol penyamaan tetapi buntu untuk merobek barisan pertahanan tuan rumah bagi sepanjang 45 minit pertama.

Babak kedua bersambung, pengurus Ukraine, Oleg Blokhin memasukkan penyerang veteran, Andriv Shevchenko dan rakan sekelab, Artem Milevsky untuk menajamkan jentera serangan pasukannya.

Ia berjaya membawa perubahan positif buat Ukraine apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-56 selepas Gusev mudah menolak masuk hantaran lintang Andriv Yarmolenko.

Enam minit berselang, Arnautovic meletakkan Austria kembali mendahului selepas menyudahkan umpanan Andreas Ivanschitz tetapi Gusev sekali lagi tidak membenarkan kedudukan itu kekal apabila hanya tiga minit kemudian.

Dia menyudahkan gerakan yang dimulakan Yarmolenko dengan rembatan kencang dari penjuru kotak.

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan seri 2-2, gol kemenangan Arnautovic pada minit ke-89 memastikan penyokong tuan rumah bersorak gembira selepas wisel penamat dibunyikan.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter