ITALY TEAM
Pasukan Itali yang terkenal dengan jolokan Azzurri ini tekad untuk mengakhiri kemarau pada kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 2012 yang bakal membuka tirai 9 Jun ini, selepas kali terakhir menjulang trofi tersebut pada tahun 1968.
Dibarisi pemain-pemain bertaraf dunia dan berpengalaman, seperti Gianluigi Buffon, Daniele De Rossi, Andrea Pirlo dan Antonio Cassano, Itali mencerahkan peluang untuk mara lebih jauh pada edisi kali ini.
Beraksi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan, Sepanyol, Republik Ireland dan Croatia, Itali dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan.
Begitupun, Cesare Prandelli selaku pengendali Itali berharap para pemainnya tidak terlalu memandang rendah terhadap mana-mana pasukan, sebaliknya menuntut sikap yang lebih serius menjelang perlawanan tersebut.
Selain muncul juara sejak 44 tahun lalu, pencapaian terbaik Itali di pentas Euro ialah kejayaan menlayakan kaki sehingga ke peringkat separuh akhir pada tahun 1980.
“Memiliki pemain yang bertaraf dunia bukan jaminan untuk meraih kejayaan, Sebaliknya, komitmen serta kerja keras yang menjadi aset untuk meraih kemenangan pasukan.
“Kami harus memiliki pemain yang memiliki kesungguhan, keghairahan dan sentiasa serius ketika menentang mana-mana pasukan.
“Kami masih kurang sempurna dan telah gagal dalam beberapa percubaan sejak 20 tahun lalu meskipun kami berjaya menjulang Piala Dunia tujuh tahun lalu di Jerman.
“Impian saya ialah untuk melakarkan satu kejayaan baru dalam sejarah bola sepak Itali. Justeru, saya menuntut semua pemain agar bersikap lebih serius dan sentiasa fokus terhadap permainan,” kata Prandelli.
Pandangan Prandelli dipersetujui oleh kapten, Buffon yang mahu menjulang trofi Euro sebelum mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa.
Pemain Paling Bernilai Liga Juara-Juara 2003 ini menambah bahawa dia semakin bersemangat untuk menambah koleksi pingat sebelum bersara.
“Setiap pemain memiliki impian untuk beraksi pada peringkat tertinggi.
“Sudah tentu satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan apabila berjaya menjuarai satu kejohanan yang paling berprestij di dunia.
“Selain pencapaian bersama kelab (Juven- tus), saya belum puas untuk terus memburu trofi dan pingat bersama skuad kebangsaan.
“Kami berazam untuk menampilkan aksi yang terbaik demi merealisasikan harapan tersebut,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Buffon mengakui, kehadiran Sepanyol mungkin menjejaskan peluang Itali untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Sepanyol merupakan satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak.
“Mereka merupakan juara dunia dan juara bertahan Euro. Sudah tentu mereka akan tampilkan aksi yang terbaik demi mengekalkan trofi yang mereka raih empat tahun lalu.
“Selain Sepanyol, kami tidak memandang rendah terhadap cabaran daripada Republik Ireland dan Croatia yang mampu melakar kejutan pada pusingan akhir ini.
“Kami harus yakin dengan kebolehan kami sendiri tetapi ia mungkin bonus bagi kami sekiranya berjaya muncul juara Kumpulan C.
“Apa yang lebih penting, kami sudah bersedia 120 peratus untuk menghadapi mana-mana pasukan pada Euro 2012,” katanya.
INFO PASUKAN ITALI
Ditubuhkan semenjak: 1898
Gelaran: Azzuri
Pengurus: Cesare Prandelli
Pemain tumpuan: Antonio Cassano, Giampaolo Pazzini, Leonardo Bonucci, Daniele De Rossi, Alberto Gilardino, Claudio Marchisio,
Penjaring terbanyak: Luigi Riva (35), Alessandro Del Piero (27)
Pusingan kelayakan EURO 2012: Juara Kumpulan C
Sejarah di kejohanan EURO 2012:
1968- Juara
1988- Layak ke separuh akhir
2008- Layak ke separuh akhir