Home » Bintang Euro, Germany » Philipp Lahm, tonggak pertahanan serba boleh


Philipp Lahm | Germany

KETUA pasukan Jerman, Philipp Lahm telah mencabar pasukannya untuk memulakan kempen Euro 2012 dengan garang apabila berdepan Portugal pada aksi pembukaan Kumpulan B, Sabtu ini.

Selaku antara pasukan pilihan, Jerman bagaimanapun akan bertandang ke Euro 2012 dengan nota negatif berikutan kekalahan 3-5 di tangan Switzerland pada aksi persahabatan minggu lalu, di samping lapan pemain bintangnya yang beraksi untuk Bayern Munich masih lagi dihantui kekecewaan Liga Juara-Juara, dua minggu lalu.

Biarpun Lahm menegaskan bahawa memori pahit Bayern terlepas kejuaraan kepada Chelsea melalui penentuan sepakan penalti sudah dipadamkan segera, namun kekalahan kepada Switzerland di Basel menunjukkan sebaliknya.

Memburukkan keadaan, keputusan itu menyusuli persembahan hambar yang menyaksikan mereka bergelut sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas Israel, Khamis lalu.

“Kita memiliki skuad yang penuh berkualiti, cuma kita belum dapat pamerkan kebolehan sebenar,” kata pemain berusia 28 tahun itu merujuk pertembungan dengan Portugal di Lviv, Ukraine.

“Walaupun persiapan tidak berjalan begitu ancar, ia adalah perkara biasa kerana kami masih belum bermain bersama untuk dua minggu ini.

“Apa yang penting adalah keserasian sepasukan dapat dibentuk apabila memulakan perlawanan pertama nanti.”

Lahm yang mula memegang jawatan kapten selepas mengambil alihnya daripada Michael Ballack, merupakan satu-satunya pemain yang beraksi setiap minit ketika kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Lahm adalah tonggak pertahanan serba boleh kerana kemampuannya bermain dengan selesa sama ada di posisi bek kanan atau bek kiri.

Meskipun bermain sebagai bek kanan untuk Bayern sepanjang musim ini, jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui dia masih tidak pasti di manakah kapten pasukannya itu harus diletakkan.

“Minggu depan (minggu ini) baru kami akan menentukan di mana Lahm akan bermain dan apabila diputuskan, dia akan kekal di posisi tersebut sepanjang kejohanan berlangsung,” kata Loew.

Lahm pula memberitahu dia tidak kisah dirinya diturunkan di kiri atau kanan.

“Saya sangat bertenang sementara menunggu keputusan jurulatih, saya percaya ia memberikan kelebihan kepada pasukan untuk membuat rancangan di kedua-dua belah sayap,” jelasnya.

Sejak penampilan pada 2004, Lahm telah mengumpul 86 cap, termasuk menjaringkan empat gol yang mana salah satu daripadanya merupakan gol sulung kejohanan untuk Piala Dunia 2006 di laman sendiri.

Gol yang dihasilkan menerusi rembatan jarak jauh dan menembusi sudut gawang Costa Rica itu dianggap sebagai antara gol tercantik sepanjang kejohanan pada tahun berkenaan.

Dia juga menjaringkan gol penting pada minit terakhir permainan untuk membantu Jerman mara ke final Euro 2008 selepas menundukkan Turki 3-2. Jerman bagaimanapun hanya berpuas hati selaku naib juara selepas tewas tipis 0-1 kepada Sepanyol.


No comments yet... Be the first to leave a reply!

free hit counter