PERSIAPAN Perancis kembali di landasan terbaik seminggu menjelang Euro 2012 selepas melakar kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Serbia semalam, biarpun ia turut dibayangi kecederaan pemain tengah, Yann Mvila.
Jurulatih Les Bleus, memuji aksi bintang sayap Bayern Munich, Frank Ribery, malah lega dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan tonggak utamanya, Samir Nasri dan Florent Malouda.
Ia kemenangan yang dianggap hadir tepat pada masanya dan menjadi suntikan moral menjelang pertemuan sulung menentang England, 11 Jun ini.
Malah, kemenangan tersebut turut melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 20 perlawanan.
“Ia adalah persembahan hebat daripada Franck. Dia adalah pemain yang mampu membawa perbezaan kepada pasukan di Euro nanti.
“Kadang kala anda perlu banyak bersabar dengan pemain yang punya potensi. Adakah dia memuncak terlalu awal? Lebih baik bersedia sekarang daripada terlewat,” ujar Laurent Blanc.
Jurulatih berusia 46 tahun itu turut memuji persembahan Nasri dan menganggap dia berada di landasan terbaik pada masa yang tepat.
“Anda terlalu keras dengan dia selama ini. Memang benar, dia boleh menjadi pemain yang lebih baik dan anda semua tahu dia ada potensi besar,” ujarnya lagi.
Kedua-dua gol kemenangan Perancis semalam disumbangkan oleh Ribery dan Malouda pada babak pertama.
Begitupun, perlawanan turut dibayangi dengan adegan Mvila menangis ketika digantikan akibat tergeliat buku lali kanan. Dia meninggalkan stadium dengan topang ketiak.
Blanc bagaimanapun yakin, pemain tengah itu mampu pulih dan bersedia menghadapi England dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Donetsk.
“Buku lali dia tidak patah, itu berita baik.
“Bagaimanapun kami memerlukan 48 jam lagi untuk mengatakan jika dia akan pulih tepat masanya bagi Euro,” kata Blanc.
Perancis akan berdepan Estonia dalam aksi pemanas badan terakhir, Selasa ini.
No comments yet... Be the first to leave a reply!