ENGLAND ditimpa musibah baru selepas tonggak pertahanan, Gary Cahill disahkan tidak akan beraksi di Euro 2012 akibat kecederaan, pada ketika nasib John Terry masih tidak menentu.
Berita terbaru ini hadir hanya beberapa hari selepas skuad The Three Lions hilang dua bintang tengah senior, Gareth Barry dan Frank Lampard, sekali gus menjadikan keadaan mereka semakin kucar kacir, tujuh hari sebelum membuka kempen menentang juara Piala Dunia 1998, Perancis pada 11 Jun.
Rahang Cahill retak kerana berlaga dengan penjaga gol England, Joe Hart selepas ditolak oleh pemain Belgium, Dries Mertens dalam aksi persahabatan di Wembley, semalam.
Tempatnya kini akan digantikan oleh pemain muda Liverpool, Martin Kelly, umum Persatuan Bolasepak England (FA), semalam.
Bekas kapten England, Terry pula mengalami kecederaan pelipat lutut dalam perlawanan yang sama dan akan menjalani ujian imbasan x-ray, hari ini.
Biarpun gembira dengan kemenangan 1-0 yang dilakar ke atas Belgium hasil jaringan cantik Danny Welbeck pada minit ke-37, namun perkembangan terbaru ini tidak menggembirakan pengurus England, Roy Hodgson yang kin berdebar menantikan keputusan ujian perubatan kedua-dua tonggak Chelsea itu.
Kehilangan dua pertahanan pasti memeningkan kepala Hodgson, apatah lagi pertemuan dengan Perancis di Donetsk sudah semakin hampir.
“Kita kehilangan satu lagi elemen penting dalam pasukan asal yang bakal berlepas ke Poland dan ini tidak mengembirakan,” kata Hodgson ketika ditanya mengenai kecederaan Cahill.
Jurulatih senior itu bagaimanapun lebih optimis ketika ditanya mengenai Terry, sambil berharap tonggak pertahanan berpengalaman itu tidak mengalami kecederaan yang terlalu serius.
“Kami akan bekerja keras sepanjang minggu ini dan mengambil apa jua langkah yang perlu. Pemain mungkin akan berasa sedikit kesakitan pada otot-otot mereka (dalam proses rawatan). Apa yang menimbulkan kebimbangan John ketika ini, dia berasa sedikit tegang di bahagian pelipat lutut,” ujarnya lagi.
Hodgson meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan Mertens yang menolaknya sehingga berlaga dengan Hart.
“Saya rasa anda faham saya tidak gembira dengannya. Perkara yang paling sesuai untuk dikatakan ketika ini, ia sesuatu yang amat malang,” katanya.
No comments yet... Be the first to leave a reply!