GOL awal Nikola Kalinic hasil kesilapan penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard membolehkan Blackburn Rovers meraih kemenangan 1-0 ke atas Everton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam tadi.
Howard bertindak keluar daripada gawang gol untuk menyelamatkan bola pada minit ke-14 tapi Kalinic bertindak lebih pantas apabila berjaya merembat bola terus ke gawang Everton.
Blackburn mempamerkan aksi mantap sepanjang permainan dengan Morten Gamst Pedersen dan Phil Jones berjaya mengemudi bahagian tengah dengan baik sementara penjaga gol, Paul Robinson hanya menyelamatkan cubaan Phil Jagielka pada minit-minit akhir.
“Kami tidak bermain seperti biasa. Corak permain kami kucar-kacir dan bahagian serangan juga sangat mengecewakan,” kata Pengurus Everton, David Moyes.
Bagaimanapun, Moyes enggan mengkritik Howard yang diturunkan pada setiap perlawanan EPL untuk Everton pada musim lalu.
“Ia sudah pun berlaku dan menjadi penentu kepada perlawanan hari ini. Bagaimanapun, Tim sudah melakukan yang terbaik untuk kami,” kata Moyes.
Blackburn terpaksa berdepan berita kurang gembira apabila mereka hilang tonggak pemain tengah, David Dunn yang mengalami kecederaan pada pangkal paha selepas perlawanan memasuki minit ke-9.
agaimanapun pasukan kendalian, Sam Allardyce mampu meraih tiga mata hasil sumbangan jaringan tunggal Kalinic, gol ketiganya sejak menyertai Blackburn dari Hadjuk Split pada tahun lalu.
“Ia meningkatkan keyakinan kepadanya untuk terus menjaringkan lebih banyak gol pada EPL. Saya rasa dia boleh lakukan jika kita memberi peluang kepadanya,” katanya.
Leave a Reply: