Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyenaraikan lapan muka baharu termasuk empat pemain import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2015.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata pemain berkenaan adalah bekas penyerang Terengganu, Mohd Norfarhan Mohamad, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Noor Hazrul Mustapha dari Perak serta pemain Harimau Muda A iaitu Mohd Ferris Danial Mat Nasir.

Sementara itu, empat pemain import terdiri daripada pemain Montenegro, Stefan Nikolic, dua bekas pemain kelab Persebaya Surabaya, Indonesia, Emmanuel Kenmogne dan Isaac Pupo serta pemain kelahiran Australia, Jonathan McKain.

Beliau berkata kehadiran pemain ini dapat memperkuatkan lagi pasukan Kelantan setelah bergelut dengan prestasi kurang memberangsangkan musim ini.

“Kita mempertaruhkan keyakinan tinggi dengan barisan pemain pada musim ini dan kita yakin jurulatih (George Boateng) mempunyai lebih banyak pilihan dalam kesebelasan utama,” katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan pemain ‘The Red Warriors (TRW) 2015′ dan penyerahan bas KAFA di Kota Bahru, 1 Disember lepas.

“Pelbagai usaha dibuat untuk memantapkan lagi pasukan dan kita ingin jadi pasukan yang berada di kelompok teratas,” katanya.

Annuar berkata pihaknya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya berjaya merangkul sebuah piala dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

“Dalam saingan liga kita sasar untuk berada dalam kelompok empat terbaik manakala dalam saingan Piala FA atau Piala Malaysia kita harap dapat menjuarainya.

“Kita harap pemain dapat tunjukkan komitmen yang tinggi dan naikkan mutu permainan setanding dengan usaha yang dibuat oleh pengurusan,” katanya.

Beliau berkata saingan Liga Malaysia musim depan dijangka sengit namun peluang untuk menjadi juara masih terbuka.

“Pasukan seperti Pahang, Terengganu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan lain-lain sedang membuat persiapan dan ini merupakan liga yang paling sengit sejak saya menjadi presiden.

“Oleh sebab itu kita berbelanja besar untuk bersaing dan mencabar kejuaraan, ini kombinasi terbaik dalam pasukan Kelantan,” katanya.

Sebagai rekod, pasukan Kelantan menduduki tangga keenam Liga Super musim ini dengan pungutan 31 mata selain mara ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Mereka turut tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas kalah agregat 3-4 kepada Kedah pada peringkat separuh akhir.

Pada majlis berkenaan, KAFA turut menerima sebuah bas dua tingkat yang bernilai RM300,000 daripada syarikat perkhidmatan bas ekspres Konsortium E-Mutiara Berhad.

Leave a Reply