Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Pahang 2-0 untuk muncul juara perlawanan Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Dua gol pada setiap babak permainan oleh pemain import, Marcos Antonio dari Brazil pada minit ke-37 dan Luciano Figueroa (Argentina), minit ke-58 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin berjaya mengakhiri kemarau piala berkenaan selama 29 tahun.

Kemenangan ini juga memberi JDT tiga mata dalam perkiraan kancah Liga Super manakala Pahang jelas gagal menjelmakan perwatakan lama apabila mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan.

Kali terakhir skuad Harimau Selatan memenangi gelaran sulung perlawanan sumbangsih adalah pada 1986.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton, JDT menguasai keseluruhan babak pertama.

Namun, tiga percubaan berturut-turut oleh pemain import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-13, 14 dan 18 gagal disempurnakan dengan baik.

Mahali Jasuli dan Figueroa juga turut melakukan percubaan bahaya masing-masing pada minit ke-30 dan 33 namun sekali lagi gagal menewaskan penjaga gol, Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

JDT bimbingan jurulatih Bojan Hodak, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Santos menanduk masuk bola sepakan sudut ke gawang Pahang.

Selepas rehat, permainan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan.

Bagaimanapun, JDT berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Figueroa menanduk cantik sepakan sudut oleh kapten Safiq Rahim untuk mengesahkan kemenangan.

— BERNAMA




coded by nessus

Leave a Reply