TONGGAK berpengalaman Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin akhirnya membuat keputusan untuk terus menabur bakti bersama Felda United bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Berita tersebut disahkan sendiri oleh pemain berkenaan menerusi entri laman sosial Facebook miliknya semalam.
Perkhabaran itu sekali gus menamatkan spekulasi kepulangan semula pemain berkenaan ke pangkuan Kelantan selepas gambar pertemuanya bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa tersebar di laman sosial Facebook kelmarin.
Indra berkata, keputusan untuk kekal bersama Felda United dibuat bukan kerana soal gaji, sebaliknya kesanggupan pasukan berkenaan yang menunggunya untuk memberikan jawapan.
“Ini bukan soal gaji,sbb gaji yang The Red Warriors tawarkan memang sangat lumayan dan cukup untuk menampung hidup saya di Kelantan.
“Tetapi dengan jadual padat dan latihan bersama pasukan Malaysia saya tidak mempunyai masa untuk berjumpa atau berbincang mengenai hala tuju saya setakat ini.
“Namun, Felda United sanggup tunggu dan tidak adil bagi saya untuk berpindah di saat-saat akhir memandangkan pendaftaran pemain sudah hampir tutup. Lagipun agak sukar untuk Felda United mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh saya,” katanya.
Tambahnya, jikalau pertemuannya dengan Presiden KAFA berlangsung lebih awal berkemungkinan besar dia akan kembali ke pangkuan Kelantan.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Indra dikhabarkan akan kembali semula ke pangkuan The Red Warriors musim depan selepas menabur bakti bersama Felda United pada tahun ini.
Sumber rapat dengan pemain berkenaan mendedahkan, pemain skuad Harimau Malaya itu dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Presiden KAFA di salah sebuah hotel di Petaling Jaya.
Indra memberitahu, sememangnya agak berat buat dirinya untuk umumkan berita itu selepas membaca kesemua komen penyokong yang 100 peratus mahukan dia kembali ke Kelantan.
“Tak sanggup nak tengok kawan-kawan kita kecewa tetapi saya berbalik kepada yang satu (Allah). Perancang Allah adalah sebaik-baiknya dan dia letakkan saya untuk terus kekal bersama Felda United bagi tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Indra turut mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang banyak memberikan nasihat dan padangan kepadanya.
“Tan Sri Annuar memang terbaik, percaya dan yakinlah dengan kehebatan beliau. Tanpa saya pun Kelantan akan jadi pasukan yang digeruni musim depan,” katanya.