Piala Dunia: Luis Suarez digantung 4 bulan insiden gigit Giorgio Chiellini
Suarez turut digantung 9 perlawanan antarabangsa
Penyerang Uruguay, Luis Suarez digantung sembilan perlawanan kerana menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini.
Suarez juga dilarang terbabit dalam aktiviti bola sepak selama empat bulan.
Insiden gigit itu yang beberapa kali diulang siaran televisyen memaparkan Suarez menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini selepas kedua-duanya bergelut di kawasan kotak penalti. Dan ia berlaku hanya seminit sebelum Uruguay meledak gol kemenangan menerusi Diego Godin pada minit ke-81.
Uruguay mencatat kemenangan 1-0 dan layak ke pusingan seterusnya dengan Itali yang juga juara dunia empat kali, tersingkir.
Ia adalah insiden menggigit kali ketiga membabitkan Suarez yang juga penyerang kontroversi Liverpool.
Ketika beraksi bersama Ajax dalam Liga Belanda pada 2010, Suarez dikenakan tindakan penggantungan tujuh perlawanan selepas menggigit pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal.
Selepas berpindah ke Liverpool, dia kemudian menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic tahun lalu dan dikenakan penggantungan 10 perlawanan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengenakan tindakan penggantungan sehingga dua tahun seandainya jawatankuasa disiplin memutuskan ada kes untuk dibicarakan.
Sejurus insiden itu berlaku, Chiellini melakukan protes kepada pengadil, Marco Rodriguez dari Mexico sambil menunjukkan bahunya yang bertanda namun tiada tindakan diambil ke atas Suarez.
Empat tahun lalu di Afrika Selayan, Suarez dikenakan tindakan keluar padang pada aksi suku akhir menentang Ghana kerana menampan bola di depan gawang namun Uruguay menang dan melangkah ke separuh akhir namun tewas.
Luahan Perasaan