Kes Steve Darby: KAFA ancam keluar FAM
Persatuan umpama lembu bajak cari duit untuk FAM,” demikian kata-kata keras diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah tidak memahami kesukaran dihadapi persatuan negeri dalam perihal kewangan.
28 Julai lalu, FAM telah mengarahkan KAFA untuk membayar RM636,000 dalam tempoh 14 hari kepada Steve Darby ekoran tunggakan pembayaran gaji, sekaligus menimbulkan perdebatan.
Tan Sri Annuar Musa, menerusi laman Facebooknya hari ini telah membuat luahan yang ditujukan kepada FAM.
“Apabila pasukan menukar jurulatih atau pegawai, ia bererti pasukan itu sanggup menanggung kos tambahan demi untuk perbaiki prestasi bola sepak yang telah menjadi tanggungjawab persatuan negeri.
Namun FAM tidak mengambil kira niat baik persatuan sebaliknya persatuan terpaksa menurut draf yang telah ditentukan FAM yang langsung tidak melindungi hak persatuan.
Presiden KAFA itu melihat FAM hanya tahu meletakan denda ratusan ribu ringgit tanpa mengambil kira kesukaran dialami persatuan yang terpaksa berhempas pulas mencari suntikan kewangan.
“Nak dapat dana RM1 pun terpaksa berhempas pulas dan berapa saja yang FAM berikan kepada persatuan? Persatuan umpama “lembu membajak bekerja cari duit untuk FAM,” katanya.
“Pasukan berhempas pulas cari dana untuk merebut Piala yang boleh didapati dengan harga kurang RM10,000 tapi terpaksa melabur puluhan juta untuk sertai liga atau kejohanan dianjurkan FAM,” katanya lagi.
Annuar Musa turut memberi bayangan bahawa KAFA akan tinggalkan FAM sekiranya ketidakadilan seperti diperkatakan berlaku.
“Eloklah KAFA berundur dari menjadi ahli FAM dan mengkaji prospek membuat liga sendiri tanpa bernaung dibawah FAM/FIFA,” tambahnya.
Tan Sri Annuar Musa akui langkah itu mungkin radikal namun tidak mustahil untuk dilakukan.
Luahan Perasaan