Pahang bangkit lakar kemenangan bergaya
Sime Darby 2-4 Pahang
Pahang merekod kemenangan mereka yang ke-11 dalam saingan Liga Super selepas menang selesa 4-2 ke atas pasukan tercorot, Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu malam.
Kemenangan itu membolehkan skuad Tok Gajah terus memimpin carta Liga Super dengan 36 mata selepas 16 perlawanan, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut meraih tiga mata di tempat lawan.
Pada aksi malam ini, Pahang terpaksa bangkit pada separuh masa kedua selepas ketinggalan 1-2 pada babak pertama.
Empat gol Pahang dijaringkan Damian Delano Stewart pada minit ke-30, Matias Conti pada minit ke-58 dan 67 serta Mohd Fauzi Rozlan pada minit ke-74.
Dua jaringan tuan rumah dihasilkan pemain import dari Serbia, Marko Perovic pada minit ke-10 dan selang empat minit kemudian.
Sarawak 0-2 JDT
JDT pula terus mencabar kedudukan Pahang di tangga teratas liga selepas menang 2-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching hasil jaringan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-63 dan Luciano Figueroa pada minit terakhir permainan.
ATM 1-5 Terengganu
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Terengganu turut membawa pulang tiga mata selepas membenam pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1, sekali gus memintas kedudukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tangga ketujuh.
Pemain import dari Kanada, Issey Nakajima-Farran muncul wira Terengganu menerusi jaringan hatrik pada minit ke-55, 72 dan 79 selain gol daripada Ismail Faruqi Asha’ri pada minit ke-14 dan Gustavo Fabian Lopez, tiga minit selepas babak kedua bermula.
Pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam menyumbang gol tunggal ATM pada minit ke-22.
Kelantan 1-0 Perak
Kelantan pula meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Zahasmi Ismail hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu menerusi jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-72.
Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Nor Farhan Muhammad dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-85 kerana mengasari pemain Perak, S. Vikneswaran.
Selangor 1-1 PDRM
Di Stadium Shah Alam, Selangor sekadar berkongsi satu mata dengan PDRM selepas seri 1-1.
Penyerang import dari Maldives, Ali Ashfaq meletakkan skuad ‘The Cops’ di hadapan menerusi tandukan seawal minit kesembilan sebelum pemain sayap tuan rumah, Andik Vermansah menyamakan kedudukan seminit sebelum permainan tamat.
Perlawanan antara Felda United dan wakil Singapura, Lions XII akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, esok.
- BERNAMA
Gambar Arkib
Luahan Perasaan