Dua gol Matias Conti bantu Pahang kekal peneraju Liga Super
Sime Darby vs Pahang [2-4] Liga Super 1 Ogos 2015
Aksi ke-16 Liga Super 2015 malam tadi, menyaksikan keputusan masih berpihak kepada Pahang apabila kekal mengungguli tangga teratas liga diikuti pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas masing-masing melakar kemenangan.
Ketinggalan 2-1 pada separuh masa pertama tidak mematahkan semangat skuad Tok Gajah membuktikan kehebatan mereka sebagai peneraju liga apabila bangkit menundukkan Sime Darby 4-2.
Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu, Pahang dikejutkan dengan jaringan awal anak buah Ismail Zakaria pada minit ke-10 dan 13 melalui pemain import, Marco Perovic.
Gol pertama menyaksikan Perovic berjaya perdayakan dua benteng pertahanan Pahang sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gawang, Khairul Azhan Khalid.
Tiga minit berselang, Perovic mengambil peluang dari luar petak penalti dengan sepakan kencang sekali lagi gagal diselamatkan penjaga gol Pahang.
Bagaimanapun, Pahang bangkit merapatkan jurang gol pada minit ke-29 melalui tandukkan Damion Stewart hasil sepakan percuma oleh Hafiz Kamal.
Pada babak masa kedua, anak buah Zainal Abidin Hassan dilihat menguasai permainan dan mengucarkacirkan benteng pertahanan Sime Darby dengan beberapa percubaan bahaya.
Gambar Arkib
Pahang berhasil menyamakan jaringan apabila Matias Conti menjaya membuat tolakan mudah ke gawang lawan ketika berlaku keadaan kelam-kabut pada minit ke-58.
Jaringan itu seolah-olah menjadi pencetus semangat untuk terus memburu jaringan dan Conti sekali lagi membuktikan ketangkasannya apabila menanduk masuk bola hantaran Dickson Nwakaeme pada minit ke-67 untuk Pahang mendahului 3-2.
Selang tujuh minit kemudian, Fauzi Roslan melengkapkan tiga mata penuh Pahang apabila merembat masuk gol keempat selepas menerima bola hasil hantaran Nwakaeme.
Pahang dilihat semakin selesa dengan 36 mata dengan lima baki perlawanan sebelum bergelar juara. Bagaimanapun, JDT dilihat terus mengejar di tangga kedua dengan 34 mata selepas menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Negeri.
Sementara itu, keputusan lain menyaksikan Terengganu membelasah ATM 5-1 di Paroi, Kelantan menang tipis 1-0 ke atas Perak dan Selangor terikat 1-1 bertemu PDRM.
Luahan Perasaan