Piala Thomas: Malaysia lawan Indonesia di separuh akhir

Piala Thomas 2014 Malaysia vs Denmark

Malaysia mengharungi malam yang penuh drama dan mendebarkan sebelum menyingkirkan Denmark 3-1 untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh empat tahun malam tadi.

Percaturan Pang Cheh Chang menggandingkan Goh V Shem-Tan Wee Kiong sekali lagi membuahkan hasil apabila pasangan muda itu muncul wira dengan menghadiahkan mata kemenangan.

Aksi cemas pasukan negara bermula sejak perseorangan pertama apabila jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei tewas set pembukaan dan kelihatan beraksi dengan menahan kesakitan kaki kiri akibat terjatuh pada set ketiga.

Selepas tumpas 20-22, Chong Wei bagaimanapun bangkit dalam dua set berikutnya untuk menundukkan pemain yang cukup liat, Jan O Jorgensen 21-14, 21-17.

Debaran Malaysia bagaimanapun tidak berakhir apabila pasa­ngan harapan mereka, Tan Boon Heong-Hoon Thien How gagal memberi kelebihan apabila tewas 14-21, 18-21 kepada Mads Pieler Kolding-Mads Conrad-Petersen untuk kedudukan terikat 1-1.

Kekalahan 19-21 yang dialami Chong Wei Feng di tangan Hans-Kristian Vittinghus di set pertama menyebabkan penyokong Malaysia di Stadium Tertutup Siri Fort terdiam seketika, namun pemain kelahiran Kedah itu mempamer kebangkitan hebat dengan permainan lebih mantap untuk menang 21-14, 21-8, sekali gus kembali meletakkan Malaysia mendahului 2-1.

Ketika pasukan negara sudah bersiap sedia secara mental dan fizikal untuk menjangkakan permainan diheret ke penentuan perseorangan ketiga kerana Denmark memiliki beregu kedua yang mantap, namun V Shem-Wee Kiong sekali lagi menjadi wira dengan memastikan kemenangan milik Malaysia selepas mengejutkan pasangan berpengalaman, Carsten Mogensen-Joachim Fischer Nielsen 21-19, 21-13.

“Ketika terjatuh, saya memang sedikit risau dan apa yang berlaku di Wuhan tiba-tiba menghantui saya. Saya cuba menahan kesakitan dan meneruskan permainan, mujur tiada masalah besar dan saya berjaya menamatkan perlawanan de­ngan mencatat kemenangan.

“Kesakitan ini sudah menganggu saya sebelum tiba di sini lagi, tetapi ia hanya kecederaan kecil dan saya yakin dapat meneruskan permainan. Ia bukan masalah yang sama seperti yang saya alami dua tahun lalu,” kata Chong Wei, yang me­ngakui tidak menunjukkan prestasi terbaiknya dalam pertarungan yang berlarutan selama 61 minit.

Pada Piala Thomas di China, dua tahun lalu, juara All England itu terkehel kaki kanan menyebabkan buku lalinya bengkak ketika menentang perseorangan utama Denmark, Peter Hoeg Gade di peringkat kumpulan. Kecederaan itu nyaris menyebabkan dia tidak dapat ber­aksi di Sukan Olimpik London.

Sementara itu, Weng Feng meng­anggap Piala Thomas kali ini pasti yang paling istimewa buat dirinya kerana berjaya memenangi semua empat perlawanan setakat ini biarpun hanya membuat penampilan sulung.

Dua tahun lalu, Daren turut disenarai dalam skuad ke Wuhan, namun sekadar sebagai pemain simpanan dan dia langsung tidak diturunkan dalam sebarang perlawanan.

“Saya sendiri tidak percaya saya mampu bermain baik setakat ini. Memenangi semua empat perlawanan Piala Thomas pertama saya suatu pencapaian yang hebat.

“Saya sudah cuba membantu pasukan sebaik yang mungkin, sekarang terpulang kepada rakan-rakan untuk membawa kami pergi sejauh yang mungkin,” ujar Wei Feng.

Menanti Malaysia pada separuh akhir hari ini adalah juara 13 kali, Indonesia di mana kita kalah dalam empat perlawanan terakhir pada pusingan akhir Piala Thomas.

Kali terakhir Malaysia menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Thomas adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 di tangan Indonesia.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>