Lin Dan tewas, Chong Wei ke suku akhir Terbuka Malaysia
JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei semakin menghampiri kejuaraan kelapan Siri Super Terbuka Malaysia apabila melangkah ke suku akhir perseorangan lelaki di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu mudah menewaskan lawannya Kazushi Yamada dari Jepun pada set pertama 21-8 namun kehilangan fokus pada set kedua sehingga membenarkan Yamada mendahului 12-4.
Bagaimanapun, pilihan utama kejohanan itu berjaya bangkit untuk akhirnya memenangi perlawanan dengan mata 21-18.
“Masa set kedua saya sedikit hilang fokus, mungkin kerana ada gangguan ‘angin’ yang kuat (di gelanggang) jadi saya sedikit takut untuk bermain seperti biasa,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Beliau dijadualkan bertemu pemain Indonesia Taufik Hidayat pada peringkat suku akhir esok.
Taufik hari ini mengetepikan saingan pemain Vietnam Nguyen Tien Minh 21-11, 21-14.
Dalam satu lagi perlawanan perseorangan lelaki, Jan O Jorgensen dari Denmark melakukan upset dengan mengalahkan pemain nombor dua dunia Lin Dan dari China 14-21, 21-15, 21-15.
Jorgensen, yang menggambarkan kejayaan itu sebagai ‘kemenangan paling besar buat dirinya”, berkata mengalahkan Lin Dan adalah lonjakan baginya selepas mengharungi tahun yang agak sukar pada musim lepas.
“Lin Dan adalah pemain yang sangat sukar untuk dikalahkan. Saya kalah kepadanya di China tahun lepas, namun pada kali ini, saya dan jurulatih merancang permainan yang berbeza, dengan memperbanyakkan pukulan tajam di jaring dan cuba menang dalam pukulan rali,” kata pemain itu yang mengalami masalah jantung selepas kematian ibunya tahun lepas.
Bagaimanapun, Jorgensen mengakui bahawa Lin Dan mungkin keletihan selepas bermain dalam beberapa siri kejohanan sejak tahun lepas.
Pemain berusia 25 tahun itu akan berdepan satu lagi saingan sengit esok dengan menentang seorang lagi pemain dari China, Chen Jin di peringkat suku akhir. — BERNAMA
Luahan Perasaan