Hafiz Hashim tewas pusingan pertama Terbuka Malaysia 2012
SAYA masih kedua terbaik di belakang Lee Chong Wei, demikian tegas pemain profesional KLRC, Hafiz Hashim selepas ditanya sama ada kekalahannya pada pusingan pertama, semalam menyempitkan peluangnya beraksi dalam skuad Piala Thomas.
Walaupun menang dalam set pertama tetapi kecederaan tumit yang masih belum pulih ketika beraksi di Terbuka Korea minggu lalu menyebabkan rentak juara Seluruh England itu terganggu lalu tunduk kepada Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia 21-17, 13-21, 11-21.
“Jika mahu diikutkan keputusan dan berdasarkan prestasi semasa, saya rasa saya layak bermain sebagai perseorangan kedua. Namun, saya menyerahkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menentukan,” kata pemain 29 tahun itu.
Juara Sukan Komanwel itu turut menamakan Liew Daren dan Mohd Arif Latif sebagai pemain yang harus dipertimbangkan mengisi slot perseorangan ketiga.
Bapa kepada dua anak itu tidak pernah terlepas membawa cabaran Malaysia pada Piala Thomas sejak membuat penampilan sulung di Guangzhou 2002 apabila mempamerkan prestasi cemerlang membantu negara mengejutkan China 3-1 di separuh akhir.
Dia tidak beraksi dalam final ketika tewas kepada Indonesia 3-2 gara-gara kecederaan.
Luahan Perasaan