Selangor bergelut kutip tiga mata

PUAS ada, terkilan pun ada. Itu diluahkan K Devan selepas menyaksikan Selangor terpaksa bergelut untuk meraih tiga mata dari Perlis dalam perlawanan Kumpulan D bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Kemenangan 1-0 sekadar melegakan jurulatih Merah Kuning itu, kerana terus mengukuhkan kedudukan selepas pusingan pertama peringkat kumpulan, namun belum mampu menampung kemerosotan mutu permainan anak buahnya.

Corak kurang tersusun lagi hambar, kurangnya mencipta peluang, malah lebih kerap diasak Singa Utara dalam babak pertama, menggambarkan betapa jauh berbezanya Gergasi Merah, berbaning aksi menentang T-Team dan Felda United lalu.

Hanya tandukan Nasriq Baharom hasil sepakan bebas Safiq Rahim dari sebelah kiri pada minit ke-73, berjaya menoktahkan kebosanan kira-kira 4,000 penyokong setia Merah Kuning sepanjang 90 minit permainan itu.

“Walaupun saya puas hati kerana tetap kutip tiga mata, corak permainan Selangor tidak seperti yang diharapkan, kurang tersusun dan tidak normal.

“Saya dapati keadaan fizikal pemain yang letih, menjadi punca, setelah melalui jadual ketat pertandingan biarpun dalam babak kedua ada sedikit peningkatan, sehingga mendapat gol tunggal,” kata Devan yang juga pengurus pasukan.

Perubahan corak permainan ini menurut Devan, diperoleh setelah tempoh rehat, yang digunakannya untuk mengingatkan pemain agar mengurangkan kesilapan individu dan kembali memberikan tumpuan yang sewajarnya.

Persaingan bakal berehat hampir dua minggu bagi memberi laluan persediaan skuad Bawah 23 kebangsaan ke Piala Alaf Tang Lung di Vietnam, yang amat dialu-alukan Devan bagi memulihkan fizikal pasukannya.

“Saya harap kami bakal kembali lebih yakin selepas rehat ini sebelum memburu satu lagi kemenangan dan sekurang-kurangnya satu seri dalam baki perlawanan kumpulan bagi menjamin tiket suku akhir Piala Malaysia,” katanya. — Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>