Prebiu Match #2 Piala Malaysia 2011
- Sabah vs Kedah (Kumpulan A)
- Stadium Likas, Kota Kinabalu
KHYRIL Muhymeen bakal menjadi tumpuan peminat Skuad Hijau Kuning malam ini selepas meledak dua gol bagi memastikan tiga mata penuh di bawa pulang dari Johor Bahru pada aksi pembukaan Piala Malaysia 2011 pada Selasa lalu.
“Kita perlu ingat Sabah lawan yang lebih mantap berbanding Johor dan pemain saya tidak boleh leka dan terlalu yakin hanya kerana mereka berjaya meraih kemenangan di gelanggang lawan sebaliknya perlu menggandakan usaha kalau berhasrat mengutip mata penuh,” kata jurularih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan.
Azmizi Aziz yang dibawa dari Perlis untuk beraksi pada saingan Piala Malaysia musim ini mengalami kekejangan otot paha dan Wan Jamak berharap dia dapat menggunakan khidmat pemain berkenaan untuk berada dalam kesebelasan utama malam ini.
Sabah pula sudah tentu tidak mahu terus kempunan mata penuh buat kali kedua berturut-turut di gelanggang sendiri selepas terikat tanpa jaringan dengan Perak pada perlawanan pertama.
- Perak vs Johor (Kumpulan A)
- Siaran Langsung ‘LIVE’ Astro Arena
- Stadium Perak, Ipoh
PERAK kini ‘tempang’ berikutan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu lalu yang mengekalkan hukuman penggantungan tujuh perlawanan ke atas lima tonggak utama skuad Yob selepas insiden menyerang pegawai pertandingan di Stadium Lumut pada 19 Mei lalu.
Ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapa bersama-sama penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli; penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin; pemain tengah, Mohd Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff digantung tujuh perlawanan dan didenda sebanyak RM4,000 pada 18 Julai lalu.
Kehilangan lima pemain utama berkenaan tidak akan melunturkan semangat skuad Perak untuk mengutip mata penuh di halaman sendiri malam ini.
Sementara itu, pengurus pasukan Johor, Datuk Aziz Sapian memberi amaran keras kepada pemain dan pegawai pasukan agar tidak terbabit dalam gejala rasuah bagi memastikan skuad itu bebas dari unsur tidak bermoral.
Ia berikutan penangkapan seorang lelaki berusia 28 tahun oleh pegawai dan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang membuat pemantauan terhadap kegiatan haram itu. Lelaki itu ditahan ketika sedang sibuk mengatur pertaruhan membabitkan perlawanan antara Johor dengan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Selasa lepas.
- Terengganu vs PKNS FC (Kumpulan B)
- Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu
KELEBIHAN selaku tuan rumah masih belum mampu memberi kelegaan kepada pengendali Terengganu, Irfan Bakti apabila menanti kunjungan Selangor PKNS pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia malam ini.
Sebaliknya Irfan mengakui, pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu pasti menjanjikan kesukaran berdasarkan reputasi lawan selaku juara Liga Premier.
Kata Irfan, pengalaman PKNS mendominasi saingan Liga Perdana tidak boleh diperlekehkan, sekalipun skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi pertama Selasa lalu.
“Kami tidak boleh leka dengan PKNS kerana mereka hadir sebagai juara Liga Premier. Lagipun, pasukan ini baru sahaja mengalami kekalahan dan saya menjangkakan, mereka pasti bangkit di Kuala Terengganu,” jelas Irfan.
- Negeri Sembilan vs Sime Darby (Kumpulan B)
- Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi
SEKALIPUN memiliki kelebihan, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak mahu anak buahnya dibuai keyakinan ketika melayani kunjungan Sime Darby pada perlawanan Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Baginya, kemenangan ke atas PKNS Selasa lalu, perlu diteruskan dan pemain perlu berhati-hati supaya tidak mudah terperangkap taktik lawan yang berhasrat untuk bangkit selepas tewas kepada Terengganu.
Menurutnya, pemain perlu sentiasa fokus terhadap saingan yang masih di peringkat awal bagi menambah mata dan seterusnya melangkah lebih jauh dalam misi merebut kejuaraan musim ini, tercapai.
“Saya sudah ingatkan pemain supaya tidak terlalu ghairah untuk menewaskan lawan kerana bimbang ia akan memerangkap diri sendiri, sebaliknya mereka diminta lebih berhati-hati kerana Sime Darby sudah pasti akan berusaha keras untuk menang.
“Namun begitu, kita sudah bersedia untuk berdepan pihak lawan dan berharap pemain mengekalkan disiplin serta semangat berpasukan dengan tidak mensia-siakan setiap peluang menjaringkan gol,” katanya.
- Kelantan vs Johor FC (Kumpulan C)
- Siaran Langsung ‘LIVE’ TV1
- Stadium Sultan Mohd Ke-IV Kota Bharu
KELANTAN tidak mahu mengambil mudah pertemuan dengan Johor FC dalam aksi kedua peringkat Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu malam ini.
Ketua jurulatihnya, Datuk M Karathu mahu barisan pemainnya meneruskan rentak cemerlang seperti yang dipamerkan ketika menumbangkan Sarawak 2-0 dalam aksi pembukaan minggu lalu.
“Kejayaan menumbangkan Sarawak dalam perlawanan pembukaan itu merupakan permulaan yang baik buat Kelantan, jadi saya harap kita dapat meraih tiga mata dalam pertemuan malam esok (malam ini).
“Walaupun kita pernah menumbangkan mereka dalam saingan Piala FA dan liga lalu, namun saya tidak akan mengambil mudah pertemuan kali ini. Saya tahu Johor FC merupakan sebuah pasukan yang baik dan sukar untuk dikalahkan,” katanya.
- Felda United vs Sarawak (Kumpulan C)
- Siaran Tertunda Astro Arena, 10.30 malam
- Stadium MBPJ Kelana Jaya
SELEPAS cemerlang membenam Johor FC pada perlawanan pertama Kumpulan C saingan Piala Malaysia, Felda United mahu terus mengutip tiga mata penuh apabila turun bertemu Sarawak pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Tanpa berselindung, pengendali Felda United, E Elavarasan menganggap pertemuan dengan Sarawak perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya anak buahnya sebelum bakal bertemu juara Liga Super, Kelantan selepas ini yang turut cemerlang menundukkan Sarawak pada perlawanan pertama.
“Tidak dinafikan walaupun ada yang menganggap Sarawak sebagai pasukan paling lemah dalam Kumpulan C, bagi kami mereka adalah pasukan bagus dan mampu memberi cabaran. Bukan itu saja, mereka juga mempunyai semangat luar biasa dan tidak pernah mengenal erti putus asa untuk bersaing.
“Apapun, bagi Felda United, kami perlu menggunakan perlawanan ini dengan sebaik-baiknya kerana selepas ini Kelantan menanti kami pada perlawanan ketiga. Pasti satu tugas sukar apabila bertemu mereka nanti,” katanya.
Namun hajat Felda United untuk mengutip tiga mata penuh pasti tidak semudah yang disangka kerana Sarawak dijangka melakukan kebangkit selepas tewas di halaman sendiri kepada Kelantan pada perlawanan pertama.
- Selangor vs PDRM (Kumpulan D)
- Stadium Shah Alam
- Kuala Lumpur vs T-Team (Kumpulan D)
- Stadium PBKL Cheras
Luahan Perasaan