Persatuan perlu bayar balik duit penyokong dihalang masuk stadium
Sebahagian penyokong yang gagal memasuki stadium walaupun mempunyai tiket pada saingan separuh akhir di Stadium Selayang, Jumaat lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan penyokong yang sudah membeli tiket yang tulen tetapi tidak dibenarkan memasuki stadium ketika separuh akhir pertama Piala Malaysia minggu lalu boleh mengemukakan tuntutan kepada persatuan negeri yang mengeluarkan tiket berkenaan untuk mendapatkan semula wang mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S Sivasundram, berkata badan induk itu tidak terbabit dalam urusan mencetak dan menjual tiket pada perlawanan berkenaan kerana ia adalah tanggungjawab persatuan negeri.
Tanggungjawab Persatuan
“Ia tanggungjawab persatuan negeri untuk menyelesaikan masalah itu. Pada pandangan saya, jika benar penonton itu sudah membeli tiket yang tulen dan tidak dapat masuk stadium menyaksikan perlawanan berkenaan, persatuan negeri terbabit harus bertanggungjawab.
“Jadi, mereka perlu memulangkan semula wang penyokong yang membeli tiket berkenaan,” katanya dihubungi semalam.
Terdahulu, kekecohan meletus dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Tentera dan Kelantan di Stadium Selayang Jumaat lalu apabila ramai penonton yang sudah membeli tiket tidak dibenarkan memasuki stadium menyaksikan perlawanan kerana ia sudah penuh.
Malah, kejadian itu berulang ketika perlawanan antara Pahang dan Sarawak di Stadium Darul Makmur dan lebih malang ia membabitkan peminat Sarawak yang sudah mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk datang ke Kuantan semata-mata untuk menyaksikan perlawanan itu.
FAM hanya cetak tiket final saja: Sivasundram
Sivasundram berkata, pihaknya memandang serius kekecohan membabitkan isu tiket pada kedua-dua perlawanan itu dan memberi amaran kepada kedua-dua tuan rumah aksi timbal balik - Kelantan dan Sarawak - jangan sampai situasi sama berulang.
Menurutnya, pihaknya sudah meminta laporan daripada Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai kejadian itu untuk diteliti pada mesyuarat khas.
“Ia kejadian yang memalukan dan persatuan negeri harus bertanggungjawab di sebalik kekecohan yang berlaku itu. Apa yang dikesalkan, FAM turut menjadi sasaran kemarahan penyokong sedangkan kami hanya bertanggungjawab mencetak dan menjual tiket hanya untuk aksi final.
“Kami juga harap ia tidak berlaku lagi pada separuh akhir kedua Jumaat dan Sabtu ini. Kami harap Kelantan dan Sarawak perlu bijak menangani isu limpahan penyokong dan mereka perlu faham kehadiran penonton adalah perkara nombor satu yang perlu ditekankan,” katanya.
- Berita Harian
October 22, 2013 - 10:02 pm
adakah kanak2 jg dikenakn membeli tiket yg dicetak FAM utk masuk stadium selayang atau stadium kuantan? tiket palsu pun orang boleh gunasbb takde pengawal pintu nk perasan lg2 time orang berasak2. silap2 tiket tu tak sempat dikoyakkan kemudian dijual semula. kenapa kt malaysia takde lg stadium yg ada sistem gate mcm nak naik komuter tu.