Final: Jersi putih, seluar merah pilihan Kelantan
Kombinasi jersi yang bakal dipakai pemain Kelantan pada aksi Final Piala Malaysia 2013 menentang Pahang.
Kejohanan bola sepak berprestij tanah air, Piala Malaysia semakin menghampiri kemuncaknya dengan aksi final yang menemukan dua pasukan Pantai Timur, Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, malam esok.
Ramai pemerhati bola sepak tempatan melihat Kelantan yang kini memburu kejuaraan ketiga selepas 2010 dan 2012 merupakan calon juara edisi ke-87 kejohanan berdasarkan kekuatan yang dimiliki mereka di setiap posisi.
Mereka bagaimanapun menyifatkan Pahang turut berpeluang untuk meraih kejuaraan buat kali ketiga selepas 1983 dan 1992 seandainya berjaya memanfaatkan ketiadaan pertahanan kental Kelantan, Obinna Nwaneri yang digantung perlawanan.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia menyaksikan keputusan seri 1-1 pada aksi Kuantan, 20 Ogos sebelum Kelantan menang besar 4-0 pada aksi timbal balik, 21 September di Kota Bharu.
Bekas pemain kebangsaan awal tahun 2000, Mohd Nizam Jamil berkata Kelantan mempunyai kelebihan dengan skuad simpanan yang terbaik sekalipun skuad utama gagal memberikan persembahan terbaik.
“Dalam erti kata lain, sekiranya skuad utama gagal memberikan impak dalam separuh masa sesuatu perlawanan, barisan simpanan mereka mampu menampung kekurangan berkenaan.
“Walaupun Kelantan kehilangan khidmat Obinna, saya melihat pasukan ini masih mampu memberikan ancaman kepada kubu Pahang menerusi rangkaian tiga serangkai iaitu kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, Norfarhan Muhammad serta Indra Putra Mahayuddin,” kata Mohd Nizam.
Mohd. Nizam yang kini bertugas sebagai pengurus pasukan Liga Perdana, SPA Putrajaya FC bagaimanapun menyifatkan Pahang turut berpeluang untuk muncul juara sekiranya keputusan di suku dan separuh akhir dijadikan ukuran utama.
“Selain itu, Pahang juga harus mengeksploitasi sepenuhnya dua pemain sayap mereka iaitu R. Gopinathan dan R. Surendran dalam mengucar-kacirkan pertahanan mereka sekiranya ingin menjulang kejuaraan,” katanya yang memilih kemenangan bakal berpihak kepada Kelantan dengan kemenangan 2-1.
November 3, 2013 - 3:53 pm
tahun depan kelantan lawan tim tempe plak…baru bes…nak2 kena cecah ngan budu 6-1 hehehe