Nwaneri kecewa terlepas aksi final Piala Malaysia

KEJAYAAN Kelantan melangkah ke final buat kali keempat dalam tempoh lima tahun merupakan sesuatu yang harus dibanggakan oleh para penyokong The Red Warriors.

Musim ini, ia dianggap sangat istimewa kerana mereka akan beraksi pada pentas perlawanan akhir dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

Dinobatkan sebagai juara trebel musim 2012, Kelantan terlepas kejuaraan Liga Super musim ini ke tangan Lions XII namun, mereka berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA dan kini misi utama adalah untuk sekali lagi merangkul kejuaraan paling berprestij tanah air iaitu Piala Malaysia.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan langkah mereka ke perlawanan akhir Piala Malaysia terpaksa dibayar dengan harga yang cukup mahal apabila tonggak paling penting mereka, Obinna Nwaneri tidak dapat diturunkan.

Ketiadaan benteng import dari Nigeria itu ekoran penggantungan gara-gara memungut dua kad kuning menyebabkan Nwaneri terlepas aksi perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua.

Pemain berusia 31 tahun berasal dari Lagos, Nigeria itu yang sudah membuat 81 penampilan bersama Kelantan sejak musim lalu kecewa dengan situasi tersebut.

“Saya benar-benar kecewa. Saya tidak mahu mengulas lagi,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

Nwaneri terlepas aksi perlawanan akhir kali ini selepas dilayangkan kad kuning pada perlawanan separuh akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu oleh pengadil, Nafeez Abdul Wahab selepas didakwa mengasari Marlon Alex James kira-kira dua minit sebelum perlawanan tamat.

Kad kuning berkenaan merupakan kad kuning kedua selepas beliau mengutip kad kuning pertama ketika saingan suku akhir menentang Johor Darul Takzim di Kota Bharu pada 4 Oktober lalu.

Situasi berkenaan meresahkan kem Kelantan dan seluruh peminat mereka apabila Nwaneri yang memainkan peranan penting mengetuai jentera pertahanan Kelantan sepanjang musim lalu dan musim ini selain turut menyumbang dua gol dalam kempen Piala Malaysia kali ini terpaksa melupakan aksi final nanti.

Perlawanan akhir menentang Pahang kali ini yang menyaksikan Kelantan tanpa kelibat Nwaneri, pastinya memberi cabaran berbeza kepada jurulatih, Bojan Hodak.

Gandingan Nwaneri dan Azizi Matt Rose sepanjang kempen Piala Malaysia dilihat cukup berkesan namun, keadaan ini menyebabkan Azizi harus mencari gandingan lain dan perlu cepat untuk mencari keserasian.

Kecederaan Daudsu Jamaluddin juga pastinya memeningkan Hodak biarpun posisi tersebut diisi oleh Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang dilihat memberikan impak positif namun, untuk perlawanan akhir kali ini pastinya benteng pertahanan Kelantan akan mengalami rombakan ekoran ketiadaan Nwaneri.

Bagaimanapun, Kelantan masih memiliki beberapa pemain pertahanan lain yang dilihat mampu untuk mengisi kekosongan tersebut seperti Rizal Fahmi Rosid dan Zairul Fitree Ishak yang perlu bersedia untuk sekurang-kurangnya memberi persembahan setaraf yang dipamerkan Nwaneri jika tidak mampu untuk memberikan yang lebih baik.

- Kosmo

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>