Kelantan tak sanggup lepas gelaran

KELANTAN membuktikan mereka tidak sanggup untuk melihat Piala Malaysia yang dirangkul musim lalu terlepas ke tangan pasukan lain apabila berjaya menumbangkan Sarawak 2-0 di Stadium Sarawak, Kuching dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C kelmarin.

Dua jaringan yang dihasilkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu sudah cukup untuk meletakkan pasukan bimbingan Datuk M Karathu itu menerajui Kumpulan C selain merupakan pasukan pilihan untuk mara ke peringkat suku akhir.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, kemenangan ke atas Sarawak amat penting buat mereka kerana ia akan bertindak sebagai langkah awal mencari prestasi sebenar selepas agak lama ‘bercuti’ daripada sebarang pertandingan kompetitif.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan tersebut bukan bererti pemain mereka boleh mendabik dada sebaliknya perlu menyedari bahawa kekuatan pasukan lain juga agak seimbang termasuk Johor FC dan Felda United.

“Ia permulaan yang baik dan sudah tentu kejayaan tersebut memberi perangsang kepada kita untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Namun, saingan baru bermula, perjalanan masih jauh.

“Diletakkan sebagai pasukan pilihan tidak seharusnya membuatkan kita berasa selesa, masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan mana yang akan layak dan cabaran daripada dua lagi pasukan juga pasti sengit,” katanya.

Tambahnya, fokus The Red Warriors kini adalah untuk memenangi lebih banyak perlawanan dan mengumpul seberapa banyak mata bagi menjamin tiket mereka untuk layak ke peringkat suku akhir.

Jelasnya, beliau berpuas hati dengan aksi pemainnya ketika berdepan Sarawak malam kelmarin namun, percaya masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk memantapkan lagi pasukannya.

“Memang benar kita beraksi di bawah keupayaan sebenar tetapi bagi saya situasi tersebut adalah biasa. Ini adalah perlawanan pertama selepas tempoh rehat yang panjang, kita bermain di tempat lawan dan berjaya meraih kemenangan. Ia satu petanda yang baik.

“Meskipun melakar kejayaan tetapi beberapa kelemahan perlu diatasi segera untuk kita menyiapkan satu pasukan yang kuat menentang Johor FC, Sabtu ini, semua pemain perlu fokus untuk itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azman turut memuji persembahan yang dipamerkan oleh Shahrizan yang disifatkannya sebagai mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

“Dia bermain dengan baik dan kita tahu dia mampu memberikan yang terbaik setiap kali beraksi. Saya harap dia mampu meneruskan momentum cemerlangnya dalam perlawanan selepas ini,” jelasnya.

Related Posts

One Response to Kelantan tak sanggup lepas gelaran

  1. Kelate akan merangkul Piala Malaysia sekali lagi. Gomo Klate Gomo!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>