Felda United sasar gol awal
BUKAN satu tugas yang mudah untuk menjinakkan juara Kumpulan B saingan Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan yang akan bertandang ke Stadium MBPJ malam esok.
Selaku tuan rumah, Felda United pasti sedar dengan ancaman Negeri Sembilan yang tampil sebagai antara pasukan pilihan untuk menjuarai piala berprestij tanah air itu musim ini.
E. Elavarasan selaku jurulatih mengakui barisan pemainnya perlu berkerja keras jika mahu mencatatkan kemenangan terhadap skuad bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu.
- Video: Prebiu Felda United vs Negeri Sembilan
Namun, Elavarasan percaya kemenangan akan dapat dicapai sekiranya mereka bijak menyempurnakan peluang yang terhidang.
Jesteru, beliau mahu barisan pemainnya sentiasa bersedia dan perlu bekerja keras menghadapi apa juga bentuk ancaman yang bakal dilancarkan oleh skuad Hoben Jang Hoben itu.
“Tampil selaku tuan rumah, kami harus mencari gol awal dan mengelak daripada ditembusi oleh jentera serangan Negeri Sembilan.
“Kami juga perlu memanfaatkan segala peluang jika mahu mencipta kejutan pada perlawanan itu kelak.
“Akan tetapi, kami juga perlu berkerja dengan lebih keras untuk mengawasi serangan daripada skuad bimbingan Azraai itu supaya dan tidak membiarkan mereka bergerak bebas untuk mengancam kubu kami,” katanya.
Jelasnya, beliau tidak mahu barisan pemainnya leka dan mendabik dada selepas kejayaan menumpaskan juara Liga Super musim lalu, Kelantan 2-0 di Stadium Selayang dalam aksi peringkat Kumpulan C pada 14 September lalu.
“Saya juga menekankan agar pemain tidak terlalu berasa bangga dengan kejayaan menumpaskan Kelantan. Ini kerana, bagi saya setiap perlawanan adalah berbeza.
“Kami harus menumpukan kepada perlawanan menentang Negeri Sembilan tanpa memandang mudah kemampuan lawan.
“Kami memang bertekad untuk melakarkan kemenangan di Stadium MBPJ dan berharap dapat mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 14 Oktober ini,” ujarnya.
Luahan Perasaan